serabut la ko











{Oktober 25, 2007}   Membebel Sendiri

Membebel sendiri kadang-kadang buat aku rasa bahagia. Terutamanya membebel di blog ni. Blog syok sendiri kalau orang lain baca. Tapi aku tak peduli.

Mana lebih baik? Marahkan orang lain dan rasa tertekan dengan benda-benda tak penting yang boleh diabaikan saja? Atau mengomel dengan agak kuat di tempat-tempat terbuka di mana punca bebelan itu buat hal, dengan tujuan menyindir? Atau bebel saja di tempat yang bisu macam ni. Tak ada sesiapa yang perlu dengar. Tak ada yang perlu terasa hati sebab diperli-perli pasal benda-benda kecil. Watak picisan atau watak kodi bak kata Akem.

Membebel dalam dua bahasa buat aku rasa senang. Bila-bila aku mahu menyumpah seranah dalam Bahasa Penjajah, aku tulis blog dalam bahasa itu. Bila-bila mahu membebel dalam Bahasa Ibunda, aku tulis dalam bahasa ini. Sebab tak semua benda boleh diekspresi melalui kedua-dua bahasa.

Aku banyak masa untuk menulis blog? Tak juga. Aku banyak bermonolog di tempat-tempat yang tak ada kemudahan menukilkan apa yang aku fikirkan. Banyak yang aku tak dapat tulis ketika aku ada banyak benda untuk dibebelkan.

Ruginya. Atau aku akan ada blog yang sentiasa terisi dengan entri-entri baru.

Buat masa ni aku hanya nak membebel sesuka hati aku.

Advertisements


{Oktober 23, 2007}   Hari Jadi

Aku hampir terlepas hari jadi Amir siang tadi. Aku ingat sejak hari-hari sebelumnya. Bulan-bulan sebelumnya pun aku ingat. Tak lupa. Dan bila aku kehilangan nombor telefon bimbit Amir, aku sangat berharap nombor telefon dengan akhiran 2210 hantar mesej atau buat panggilan. Dia sendiri pernah ingatkan aku pasal empat nombor terakhir tu. Yang aku pernah perli (secara tak sengaja sebab tak kenal sebab dia tukar nombor baru masa tu): Nombor ekor 4D ke?

22 Oktober. Hari jadi Amir. 23 Oktober hari jadi Fred atau macam nama barunya sekarang Si Keji. Dan 24 Oktober Fera. Sama hari jadi dengan Sultan Pahang. Maka kami akan bercuti.

Hari jadi Fred. Aku ucap selamat lambat. Sekadar teks bodoh di telefon. Selamat hari tua. Yang aku taip dengan kependekan sependek yang boleh (hampir semua huruf vokal dipadam). Tak payah panjang-panjang. Aku tersilap bubuh huruf ‘K’ dan bukan ‘F’ untuk cari nama dalam telefon. Aku hampir cari ‘Keji’ dan bukan ‘Fred’. Bukan salah aku. Nama tu dah sebati dengan orang-orang dalam bilik aku.

Hari jadi Fera. Tunggu sajalah. Akem dah beli kusyen rama-rama. Kongsi sama-sama sebab tak banyak modal. Harap-harap Fera suka. Sebab aku beritahu Akem, Fera suka rama-rama dan warna ungu. Aku pernah belikan pin kecil bentuk rama-rama berwarna ungu dan cakap hadiah tu untuk sementara waktu, sebelum aku jumpa hadiah yang lebih baik.

Bulan Oktober ada banyak hari jadi yang aku ingat. Tapi sengaja tak nak ingat. Agak banyak kenangan tak berapa manis dengan tarikh-tarikh yang aku ingat tu. Biar je macam ni. Buat-buat tak tahu.

Dan tiba-tiba aku teringat aku tak ucap selamat dah lebih dua minggu. 20 hari pun kalau betul kiraan aku. Untuk dua orang senior yang aku agak rajin hubungi dulu. Melampau tak?



{Oktober 21, 2007}   Fobia

Aku bangun awal pagi. Awal sangat. Ayam jiran selang satu rumah tu belum berkokok lagi. Tapi setahu aku ayam tu memang berkokok tengah hari buta. Apa-apa sajalah.

Aku tengok telefon bimbit. Lebih kurang jam 6.30. Ada mesej ajak bersarapan pagi. Bersyarat. Apa-apa sajalah. Aku tenung balik. Seingat aku mesej terakhir aku hantar malam tadi adalah sekitar pukul 4.30 pagi. Aku tidur lewat sikit. Maknanya aku baru tidur sekadar dua jam lebih kurang. Mesej ajak makan di Mc D aku fikir dalam-dalam. Syarat yang aku tak suka. Tapi perut lapar. Aku berdalih banyak kali. Tapi kalah pada perut yang lapar. Aku rasa aku makan banyak semalam. Dan malam tadi. Dua atau tiga jam sebelum tertidur.

Aku tak pasti aku bangun sebab sejuk atau sebab lapar. Atau tiba-tiba cahaya terang lampu berjaya menerobos masuk di celah-celah bulu mata dan masuk ke dalam mata, kejutkan aku bangun pagi. Aku rasa sebab ketiga tu macam kurang logik. Aku memang tertidur dengan lampu terpasang.

Baca mesej. Fikir dalam-dalam. Dan aku tiba-tiba rasa dada berat. Macam ditindih. Macam jantung ditekan kuat. Macam kena genggam kuat-kuat, dan aku selalu berimaginasi jantung aku macam span yang digenggam kuat dan diperah kering. Sakit sangat. Dan tiap-tiap kali aku sakit macam tu, aku akan bernafas dengan tarikan yang pendek-pendek. Aku sendiri tak pasti adakah sebab aku memang tak mampu bernafas pada kadar normal, seolah-olah tercungap-cungap, atau aku memang sengaja meminimumkan pengambilan oksigen.

Semuanya sebab aku teringat masa dulu. Tiba-tiba takut. Fobia barangkali. Aku sendiri tak tahu dah capai tahap fobia atau belum. Dan tak semua kawan aku faham macam mana rasa sakit macam ni. Apapun, memori itu buat aku tak boleh tidur. Dan sebab itulah aku terpaksa akur dengan kehendak perut.

Keluar makan, dan aku asyik ditanya kenapa aku takut. Aku tak faham bahagian mana yang orang itu tak faham. Aku tak nak ingat lagi. Rasanya macam banyak kali aku ulang. Aku tak nak ingat lagi. Dari teks di telefon bimbit sampai bertemu empat mata. Aku rimas. Dan bila dia tanya lagi aku tiba-tiba menangis.

Aku tahu dia kaget sekejap. Tiba-tiba aku menangis. Siapa tak terkejut? Dia duduk sekejap, tunggu aku stabil. Aku sambung makan sarapan yang berbaki. Habis. Dia tanya keadaan aku. Takkan nak menghantar aku balik rumah dengan mata merah dan air mata meleleh?

Aku ingat aku dah bertambah kuat. Tak perlu ingat benda macam tu lagi. Tak perlu sakit dan takut lagi dengan benda hampir dua tahun lepas. Tak perlu takut orang lain cakap benda yang sama, sebab aku dah lalui dan aku berjaya lupakan macam tak pernah ada apa-apa berlaku.

Siapa boleh lupa kata-kata kejam macam ni: Saya patut rogol awak dulu sebelum tinggalkan awak.

Dan sakit tu masih belum hilang.



{Oktober 20, 2007}   Jumpa

Hari ni aku gembira. Sebab dah jumpa balik DVD yang penuh berisi entah apa-apa persian komputer. Perisian grafik. Gembira sebab aku tak payah beli DVD perisian yang lain. Dan gembira sebab tak membazir beli tempoh hari. DVD ni mungkin tak boleh dibaca (kena tengok nasib) tapi tak apa. Lain kali saja aku fikir pasal tu.



{Oktober 10, 2007}   Tak Seronok

Aku rasa tak seronok dengan blog sekarang. Bukan sebab tak ada idea menulis. Itu aku tak kisah.

Aku rasa perkhidmatan blog ni macam serabut sikit. Aku lagi suka perkhidmatan blog yang aku guna untuk blog Bahasa Penjajah tu. Senang.

Kononnya aku nak cuba perkhidmatan lain. Boleh buat perbandingan. Lagipun blog ni ramai yang guna. Aku tetap rasa yang lagi satu tu lebih senang. Hehe…

Apa-apa sajalah. Yang nyata aku tak suka masa blog ni ikut masa dipos. Bukan masa ditulis. Tak menarik. Sebab draf aku masanya asyik lari. Dan aku perlu edit semula dengan waktu yang lebih kurang tepat.

Aku tak suka.



{Oktober 10, 2007}   Kawan

Hari ni aku cuma tidur sepanjang hari. Entah ke mana puasa aku. Aku pun tak tahu. Apa-apa sajalah.

Aku bangun untuk makan. Bangun pun sebab Mama kejut. Dah nak berbuka katanya. Aku basuh muka dan turun makan. Berborak macam-macam hal dengan Abah dan Mama.

Akhirnya aku dan Mama sambung berborak. Semuanya pasal kawan. Silap. Semuanya pasal barang-barang yang Mama nampak, dan Mama tak tahu dari mana datangnya. Aku cuma mampu jawab: Kawan.

Gitar di bilik. Kawan. Kotak dari AS. Mama tanya apa bendanya. Kamera web. Dari kawan. Semuanya lelaki. Mujur aku tak cakap kasut raya terakhir yang aku ada tu orang yang beri. Kawan. Lelaki juga. Aku hampir cakap itu hadiah yang orang beri, sebab Mama cakap aku dah ada kasut raya. Mana ada. Itu kasut yang aku dapat tiga tahun lepas. Itupun pernah putus dan Mama hantar untuk dibaiki. Mama tak pernah tahu aku tak beli kasut perempuan dalam beberapa ketika ni.

Aku rasa Mama ada soalan dalam mindanya. Kenapa ramai sangat kawan lelaki? Barang-barang pun entah mana datangnya, semua dari lelaki. Muka pun tak pernah nampak. Dan kenapa tiba-tiba mahu beri macam-macam?

Maaf, Mama. Aku tak mampu jawab soalan tu. Mungkin lain kali. Dan orang-orang yang beri macam-macam tu bukan orang yang akan jumpa Mama nanti.

Dan sebenarnya ada barang-barang yang aku beli tapi aku kata pada Mama orang beri. Sebab takut Mama bising aku beli barang yangbukan-bukan. Hehe…



{Oktober 10, 2007}   Tak Pernah

Siapa kata tak pernah dengar lagu tu?

Siapa kata tak pernah tahu wujudnya lagu tu?

Siapa kata tak pernah jumpa sebarang bukti kewujudan lagu tu?

Aku nak jawab soalan ketiga. Aku.

Di pagi hening pertama aku sampai ke rumah. Pagi pertama lepas kali terakhir langkah pintu rumah masa cuti pertengahan semester. Pagi pertama jumpa Mama lepas kali terakhir setakat ni Mama terbang balik ke Saudi.

Aku habiskan malam ni dengan duduk di depan komputer. Aku rasa semua orang tahu tabiat aku ini. Dan malam ni tiba-tiba aku rasa bersemangat mencari lagu Tak Pernah tu.

Dan bukan aku seorang yang pernah dengar lagu tu. Akhirnya aku dah berjumpa orang yang betul. Bila aku ajukan soalan cepu emas: Pernah dengar lagu tu? Dia cakap pernah. Cuma kurang pasti.

Dan aku teruskan pencarian. Akhirnya jumpa. Lirik (yang aku jumpa ada agak banyak kesalahan) serta pautan ke fail lagu. Aku muat turun serta merta.

Dan sepanjang masa aku habiskan dengan mendengar lagu tu. Sampai pagi. Sehingga Mama bising-bising suruh aku tidur.



{Oktober 8, 2007}   Lagu Hantu

Ada satu lagu yang menghantui aku. Empat tahun lepas aku dengar lagu tu. Dan layan (tanpa rela) hampir setiap hari. Dan lagu tu melekat dalam benak aku. Tanpa rela.

Tapi liriknya buat aku rasa macam wujud dinding antara aku dengan dunia realiti. Macam aku berada di satu tempat lain. Sebab selalunya aku teringat lagu tu masa aku sedih.

Lagu hantu. Aku sedih sekarang. Banyak masalah.

Dan yang anehnya semua orang seperti tak pernah dengar lagu tu. Dan lagu tu pun macam tak pernah wujud. Tak ada di mana-mana walaupun dah berkali-kali aku cari di Internet. Lirik pun tak ada.

Dan tajuk lagu itu seingat aku: Tak Pernah.

Lagu hantu.



{Oktober 6, 2007}   Save on Air Mani?

Hari ini aku ada baca tentang permasalahan seorang gadis di dalam e-mail. Dia tanya hukum perlu qada puasa atau tak sebab keluar air mazi, tapi dia yang jahil beberapa ketika sebelum itu waswas adakah yang keluar itu mani atau mazi.

Dan aku yang juga jahil ini mencari di Google apa beza mani dan mazi. Sebab aku juga tak faham kedua-dua itu. Dan juga madi/wadi (aku jumpa dua perkataan yang berbeza dengan penjelasan yang sama, dan aku anggap saja kedua-dua itu sama). Apa-apa sajalah.

Satu halaman menarik perhatian aku. WPfind – WordPress Search Engine sediakan pautan ke beberapa halaman blog. Aku menjumpai perkara yang berkaitan. Tetapi yang sangat menarik perhatian aku adalah ini:

Free Air Mani?

Sila klik ini untuk lihat sendiri. Dan silakan ketawa.

Nota: Bot masih tak mampu berfikir logik. Mereka yang berduit itu patut tahu. Dan sekarang aku gelakkan bot bodoh itu.



{Oktober 5, 2007}   Marah Lagi

Aku rasa marah lagi. Seorang lelaki tak faham bahasa buat panggilan ke Skype teman sebilik. Dan teman itu pula tiada. Panggilan tak berjawab, dan lelaki itu tak berhenti. Bunyi yang bingit dan buat aku rasa rimas dan panas. Panas hati. Itu bukan teman lelakinya pun.

Aku balas mesej dengan malas. Aku beritahu lelaki itu dia tiada. Dan lelaki itu tetap tak faham. Dia kira aku adalah teman itu, cuma aku mahu berselindung. Maaf. Aku tak ada masa untuk benda bodoh begitu. Aku cuma mahu matikan panggilan bingit dan tak mahu dia cuba lagi. Dan dia berlagak bijak cuba meneka siapa aku. Dia tanya macam mana aku boleh gunakan Skype teman itu kalau itu bukan aku. Aku cuma ingin jerit “Bodoh!” kepada lelaki itu.

Aku marah sebab benda bodoh macam ni. Sakit hati. Bengang. Marah.

Dan lelaki itu masih tak faham. Asyik cuba memanggil. Berkali-kali. Bingit. Aku marah-marah lagi. Benci dengan kebodohan macam tu. Lebih benci bilamana lelaki itu ada cuba untuk memanjangkan perbualan. Aku tak ada masa untuk itu. Dengan orang yang aku tak kenal. Terutamanya menggunakan akaun Skype orang lain. Aku malas melayan orang-orang yang aku tak kenal di Skype sendiri. Nak layan orang macam tu? Tolonglah jangan jadi bodoh. Apa-apa sajalah.

Aku menulis dengan perasaan benci. Serabut. Aku harap lelaki itu tak cuba buat panggilan lagi. Aku tak suka bunyi bingit itu. Dan aku rasa teman sebilik tu pun tak pernah layan panggilan lelaki itu. Jadi kenapa perlu buat panggilan?

Konklusi aku sendiri: Lelaki itu adalah lelaki gersang yang tak mampu mendapat teman wanita yang boleh menerima kebodohannya dan cuma mampu menagih kasih sayang perempuan-perempuan di Internet.

Nota untuk aku: Puasa itu sekadar lapar dan dahaga saja hari ini.



et cetera