serabut la ko











{November 22, 2007}   Hipokrit

Sekejap tadi ada seorang senior datang ke bilik, pinjam CD pemasangan perisian Microsoft Office. Mungkin komputer baru diformat. Selalunya begitulah.

Dia datang, senyum dan tanya aku baik-baik masa aku sedang main permainan di komputer. Nasib baik tak memerlukan aku tumpukan perhatian penuh, dan masa tak dikira. Kalau tak, memang aku nak marah.

Aku cari CD yang dia minta. Aku beri. Dia cakap nak pinjam. Aku beri izin. Tapi aku tetap tak suka dia. Aku hipokrit, senyum separuh saja. Terpaksa.

Aku tak pernah suka dia. Dia sekarang budak Fakulti Elektrik. Aku budak Fakulti Komputer. Dulu dia budak Fakulti Komputer, kursus Rangkaian. Aku pula kursus Perisian.

Aku benci dia sebab dia pernah buli aku dan kawan-kawan aku masa Orientasi dulu. Bukan buli fizikal macam kena basuh baju dia atau kena apa-apa. Pemulauan sosial. Dia tak pernah terima pandangan budak-budak perempuan. Cuma utamakan budak-budak lelaki. Sedangkan budak-budak lelaki itu minta kami, budak-budak perempuan yang tolong.

Tak munasabah. Dia benci aku sebab aku tak pakai tudung, maka aku boleh masuk kategori minah gedik yang perangai macam sundal atau jalang atau apa-apa sajalah yang dia rasa. Aku tak tahu apa yang dia rasa. Yang pastinya aku tak suka dia macam mana dia tak suka aku.

Bila dia habis kursus Diploma dan ambil kursus Ijazah Sarjana Muda dan masuk Fakulti Elektrik, aku masih simpan lagi rasa tak suka tu. Aku tak pasti dia ingat atau tak apa yang dia pernah buat dulu. Sekarang asyik perlu minta apa-apa dari bilik aku, dan banyak kali perlukan apa-apa daripada aku.

Agak-agak dia ingat tak? Sebab dia asyik senyum bila minta tolong. Aku rasa dia ingat lagi. Sebab terpaksa tahan malu dan fikir sama ada aku dan Fera masih bengang dengan kelakuannya dulu dan sekarang terpaksa minta tolong dengan rasa rendah diri. Dan mujurlah kami selalu hulur apa yang dia minta.

Aku memang hipokrit. Demi jaga hati semua orang. Aku membesar belajar cara puaskan hati orang dengan hipokrit. Hipokrit boleh bawa kita jauh. Tikam belakang atau tak, itu lain cerita. Depan orang, muka mesti manis. Ada kepentingan untuk dijaga. Mungkin kita tak ada dendam atau dengki, jadi tak perlu tikam belakang. Tapi kita ada kepentingan untuk dijaga. Bila susah, atau bila kita perlu bersaing, kita gunakan apa yang kita semai, hipokrit itu, untuk dapat apa yang kita nak.

Aku hipokrit di depan senior itu? Mungkin. Sebab aku tak nak panjangkan bergaduh atau apa-apa. Dia hipokrit? Mungkin juga. Kalau dia ingat apa yang dia buat dulu dan sekarang dia malu. Dan aku tak tikam belakang. Tak ada manfaat.

Aku takkan tikam. Aku akan cucuk jarum halus yang buat dia rasa tak senang sebab buat macam tu dulu. Biar dia rasa bersalah sendiri. Aku hipokrit.

Advertisements


{November 17, 2007}   Aku dan Kucing

Keluarga aku tak suka kucing. Tapi aku suka. Dan sebab aku suka kucing, aku pernah beri kucing yang datang entah dari mana, makan nasi dan ikan di belakang rumah. Dan Abah marah aku sebab itu.

Dan sekarang aku selalu pegang-pegang kucing yang lalu dekat dengan aku. Di kafe, di kedai-kedai makan dan kedai-kedai mamak, di kedai-kedai. Aku tunduk dan usap-usap kucing. Dan Along tanya, “Sejak bila kau suka kucing?”

Dan di dalam bilik aku ada seekor kucing peliharaan budak-budak bilik. Kucing yang akan datang ikut kami, cari jalan ke bilik kami di tingkat satu tanpa kami perlu pegang dan angkat (tak macam orang lain yang selalu angkat dan bawa dia masuk sebab dia tak nak bangun). Kami panggil dia Boboi, atau selalunya Boy saja.

Boy tidur dalam bilik kami. Atas katil, atas selimut, atas bantal, atas kerusi, bawah katil, dalam selimut, atas kotak, dalam kotak. Mana-mana saja yang dia suka. Dan Boy selalunya akan mengiau minta makanan, atau tunggu di pintu dan mengiau bising kalau nak keluar atau masuk.



{November 8, 2007}   Telefon

Penat aku cuba telefon Shah berkali-kali. Berpuluh-puluh kali pun rasanya. Dia minta kejut pukul 3 pagi, tapi hampir pukul 4 baru dia bangun.

Aku penat dengar suara perempuan simpanan Shah setia jawab panggilan telefon: “Sorry. Please try later.



{November 6, 2007}   Puasa Enam?

Aku ada rasa nak menangis sekejap tadi. Besar betul dugaan.

Tak sempat. Perkiraan aku salah kali ni. Bukan kali ni saja. Tiap-tiap kali aku berniat nak puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal mesti jadi macam ni. Kiraan aku mesti tak cukup enam. Selalunya lima dan baki satu hari lagi mesti tak sempat. Buat aku geram dan nak putus asa.

Tak apalah. Lain kali boleh usaha lagi.



{November 6, 2007}   Emosi Itu

Ada masa-masa tertentu aku dilanda emosi yang tak berapa baik untuk kesihatan sosial aku. Masa-masa aku dilanda emosi yang mengharapkan suasana yang senyap sunyi dan cuma ada beberapa lagu yang boleh lalu di corong telinga aku. Kalau boleh aku nak senyapkan dunia ni daripada sebarang bunyi, kecuali lagu itu.

Dan selalunya lagu-lagu yang aku dengar berupa lagu-lagu balada kecewa atau patah hati. Lagu yang sayu dan sayup-sayup. Tak kira lagu yang aku faham atau tak. Lagu-lagu sedih yang akan bermain berulang-ulang kali sampai emosi tu berlalu atau aku perlu tanggalkan fon kepala atau fon telinga atas apa-apa sebab atau bateri habis. Selalunya aku akan tidur dengan lagu-lagu itu bermain sampai aku rasa ia perlu berhenti. Atau pemain MP3 aku rasa ia perlu berhenti.

Contohnya sekarang. Aku dilanda emosi seperti itu. Dan lagu yang sayu dan sayup-sayup menemani aku sekarang ni adalah lagu Ti Amerò dendangan jejaka-jejaka yang aku kagumi, Il Divo. Peneman terbaru aku. Mungkin sebab aku sedang dalam emosi itu dan kebetulan aku mendengar lagu itu dan senang dengannya.

Lagu yang sedih pada pendengaran aku. Tapi cukup enak didengar. Melayan emosi yang seperti sedih. Dan aku gembira sebab semua orang buat kerja senyap-senyap. Aku tak perlu marah-marah atau putarkan dail untuk kuatkan suara pemain MP3 ni.

Mungkin sebab aku penat. Penat fizikal dan mental. Aku baru balik dari keluar dengan Naja dan Faiss. Dan aku tersedar telefon aku tertinggal dalam kereta Naja, dan Naja balik betul-betul masa aku tersedar dan tercari-cari. Dan aku cuba teks Shah melalui Internet, tapi asyik gagal, dan aku cuma sedar bila aku periksa senarai mesej yang dihantar. Yang aku cuba hantar dari beberapa ketika tadi semuanya gagal. Dan itu pun lepas aku cuba telefon dia melalui telefon awam, berbekalkan beberapa keping syiling (nasib baik ada) tapi gagal juga.

Melayan lagu balada sedih berulang kali tak buat aku sedih. Aku rasa tenang sikit. Sebab tadi aku dah mula rasa dada berat dan nafas mula sesak. Shah kata aku perlu jumpa Doktor. Mungkin aku ada masalah. Aku sihat (sebenarnya aku cuma degil). Dan lagu ni buat aku rasa lega sikit. Tak sakit macam selalu.

Aku juga cari lirik lagu ni. Sebab aku tahu ada cerita sedih dalam lagu ni. Mendayu-dayu. Dan aku tak silap. Lagu yang mungkin aku boleh beri kepada seseorang. Tak perlu faham maksud, aku cuma nak dia dengar lagu sayu macam ni. Biar dia rasa ketenangan yang aku dapat rasa daripada lagu ni. Biar dia anggap aku cuma beri sebuah lagu cinta dengan lirik yang meleret-leret dan melodi yang sedap serta lirik dalam Bahasa Itali yang kononnya seksi. Liriknya cuma akan buat dia sedih. Aku tak nak dia faham, sebab dia akan rasa bersalah, macam aku seorang yang dah putus asa, dan dia penyebabnya. Aku tak macam tu. Aku tenang dengan lagu ni. Tak sakit macam yang aku hampir rasa tadi. Lagu ni sama macam imaginasi yang bantu aku hilangkan sakit tu.

Aku masih dengar lagu Ti Amerò ni. Mungkin aku akan sambung layan lagi sampai beberapa hari lagi. Sampai aku rasa aku perlu beralih kepada lagu lain.



{November 5, 2007}   Pembentangan

Siang hari ni, dalam beberapa jam lagi Shah akan bentang Projek yang selalu buat dia sakit kepala dan tertekan (selain tekanan dan sakit kepala sebab perempuan itu). Dan aku tak dibenarkan datang untuk tengok dia bentang Projek.

Apa alasan dia? Sebab kononnya kalau aku ada dia tak mampu nak bentangkan. Gugup? Mungkin. Aku pun tak tahu. Mungkin juga sebab dia segan. Entah apa yang dia nak segankan sangat, aku pun tak faham. Apa-apa sajalah.

Hati aku rasa macam nak datang dan tengok, tak kisahlah kalau perlu berdiri sejauh mungkin dan sorok-sorok. Aku mungkin tak akan faham sebutir apa pun yang dia akan bentang. Aku bukan budak Mekanikal. Tapi aku sama-sama duduk dengan Shah, dengar semua yang dia beritahu dan tengok semua yang dia tunjuk. Buat-buat macam aku faham apa yang dia cakap. Dan tunjuk macam aku berminat. Walaupun sebenarnya aku ada agenda lain. Minat lain. Tak kisahlah.

Tapi aku tak berani datang walaupun secara sorok-sorok. Aku faham, dia bukan main-main bila dia cakap aku tak boleh datang tengok. Barangkali dia gugup kalau aku ada dan memerhati.

Teringat peristiwa tahun lepas. Aku datang tengok budak-budak Mekanikal bentangkan hasil kerja kumpulan masing-masing, basikal berkembar (aku lupa apa namanya). Dan aku datang bukan sebab Shah. Aku datang sebab aku nak tengok basikal apa yang ada. Aku nampak macam-macam rupa. Dan aku kenal agak ramai budak-budak Mekanikal. Aku nak tengok semuanya.

Nasib aku baik sebab hari tu ada kawan aku yang nak tengok juga, dan perlukan teman. Akulah orang itu. Dia mahu tengok hasil kerja teman sebilik. Dan aku mahu tengok semua. Agak tak adil, tapi kami datang untuk sesuatu yang menarik.

Masuk ke Dewan Majlis, cuma kami berdua saja budak dari Fakulti lain. Orang lain selain daripada budak-budak Mekanikal tak ada. Budak-budak Mekanikal dari tahun lain pun tak ada. Kami betul-betul macam makhluk asing. Dan kami datang awal sikit, maka kami ada tempat duduk walaupun cuma duduk di belakang.

Dan masa tu semua orang fikir aku datang sebab Shah. Niat tu memang terlintas juga, sebab dia asyik sibuk, agak lama tak duduk lepak sama-sama atau temankan aku makan. Tapi aku tahu dia memang sibuk. Kawan-kawan dia yang aku kenal semuanya mula tunjuk-tunjuk ke belakang dan mungkin mereka suruh dia jumpa aku sekejap.

Dan Shah datang dari depan Dewan ke tempat aku di antara barisan-barisan yang paling belakang. Dia cakap terima kasih sebab datang. Aku tak terkata apa-apa. Mungkin niat asal aku bukan untuk jumpa dia semata-mata, maka aku agak terkejut bila dia cakap macam tu.

Sebenarnya kalau boleh aku tak nak orang lain tahu aku datang. Dan aku tak nak orang fikir aku datang sebab Shah, atau Shah minta aku datang untuk beri sokongan atau apa-apa. Dan aku tak nak Shah tahu aku datang. Sebab aku datang bukan semata-mata nak tengok dia. Tapi aku tersilap sebab tak ada orang lain selain budak-budak Mekanikal yang datang untuk bentang hasil masing-masing, kecuali aku dan kawan aku tu.

Dan Shah pula, kadang-kadang akan pandang ke belakang, cari di mana aku. Dan mungkin dia nampak aku banyak bercakap dengan budak-budak lelaki saja, ada sedikit yang Shah tahu aku kenal. Dan ada yang entah siapa, aku pun tak kenal (sebenarnya budak tu ada ambil gambar dengan aku masa Majlis Konvo tahun lepas dan aku minta gambar tu tapi tak dapat-dapat lagi dan sebenarnya aku tak tahu nama budak tu dan aku betul-betul tak tahu dia budak Mekanikal). Mungkin masa tu dia rasa nak tanya aku, siapa mereka tu pada aku.

Apa pun, aku tengok Shah bentang kerja dia. Dia buat bahagian analisis. Pendek saja. Dan cepat-cepat, macam tergopoh gapah. Kemudian dia beritahu aku sebenarnya dia dah bersedia, tapi masa pembentangan dipendekkan maka dia jadi kelam kabut dan bercakap apa yang penting saja.

Mungkin betul dia gugup, sebab aku ada di hujung Dewan dan dia tahu aku sedang perhatikan dia. Cakap pun terputus-putus. Mungkin aku saja yang rasa macam tu.

Aku tak pernah tahu macam mana dia bentangkan hasil kerja di dalam kelas atau apa-apa yang perlukan pembentangan di depan orang ramai. Kalau betul dia gugup, aku tak patut datang. Walaupun gugup tu sesuatu yang tak pasti (sebab aku tak pernah tahu macam mana dia buat pembentangan) aku tak nak ambil risiko datang senyap-senyap dan buat dia gugup tiba-tiba. Projek yang perlu dibentangkan hari ni sangat penting, dan aku tak nak rosakkan itu. Biarlah aku tak tahu apa-apa pasal Projek tu daripada aku cuba datang dan mungkin akan buatkan dia gagal bentang dengan baik dan dapat penilaian yang buruk daripada Panel.

Bila fikirkan balik, aku rasa aku mungkin tak bangun lagi masa dia bentangkan Projek. Sebab aku tidur masa matahari nak naik dan aku mungkin akan rasa malas untuk bangun. Shah mesti tak kisah. Sebab dia yang minta aku supaya jangan datang, dan dia tahu tabiat aku yang berjaga malam. Dan seperti biasa aku akan kejut dia lebih kurang pukul 6.30 untuk solat Subuh. Kalau aku belum tidur.



{November 5, 2007}   Bising

Aku baru balik dari belajar Lagu Kolej versi baru. Banyak kena ubah, maka kami yang datang tadi tak jadi rakam lagu. Cuma berlatih menyanyi bersungguh-sungguh dan nanti akan datang lagi untuk rakam lagu.

Balik dari studio kami singgah makan di tempat yang biasa orang-orang dari Kolej datang untuk makan. Tapi bezanya kali ni kami datang beramai-ramai bercampur lelaki dan perempuan, staf dan pelajar. Dan yang ketara, kami datang lepas pukul 12 tengah malam.

Apa-apa sajalah. Kami balik lepas makan. Dah lewat, pukul satu lebih. Aku, Akem dan Fera masuk ke bilik. Biasalah kalau bising-bising sikit. Bilik ni jarang senyap. Kecuali masa semua orang tidur. Atau dalam banyak kes, kebanyakan orang tidur. Atau ada yang tidur dan yang lain belajar.  Benda biasa saja.

Tapi tadi aku dengar sesuatu dari Akem. Ada orang itu yang tengah bermasalah agaknya. Dia rasa kami bising sangat. Dan yang sangat geram tu, dia boleh cakap macam ni: Bisinglah. Aku tak dengar, tapi ada orang lain yang dengar. Dan kami agak sakit hati juga dengar tu.
Kebanyakan masa dia memang beremosi yang lebih sikit daripada orang lain (kalau nak bandingkan masa antara orang-orang dalam bilik ni yang beremosi juga). Dan emosi yang aku nak beritahu ni bukan emosi yang positif, tapi yang negatif.

Kadang-kadang rasa bengang juga sebab terpaksa layankan saja kerenah orang itu. Dia beremosi yang tiba-tiba macam tu bila orang lain tak ada masalah. Macamlah orang lain pun tak ada masalah. Simpan senyap-senyap sudah.

Bila fikirkan balik, orang itu macamlah tak pernah buat bising masa orang lain nak berehat-rehat atau senyap-senyap. Dia boleh menyanyi sesuka hati atau buat pergerakan dengan bunyi-bunyi yang kuat. Kami tak kisah pun.

Sabar sajalah. Nak buat macam mana. Angin orang tengah tak baik. Jangan kacau. Mungkin dia ada hal sendiri. Biarkan saja.



{November 5, 2007}   Banyak

Satu perkara yang aku lihat setiap kali aku masuk ke ruangan Dashboard blog ini: Di bahagian What’s Hot, sub Fastest Growing Blog. Selalunya blog-blog di bahagian ini akan tertera perkataan-perkataan daripada Bahasa Melayu. Tak kiralah Bahasa Melayu Malaysia atau Bahasa Melayu Indonesia atau Bahasa Melayu Brunei atau Bahasa Melayu Singapura (kita potong Bahasa Melayu Singapura daripada senarai, sebab sangat jarang orang Singapura nak menulis dalam Bahasa Melayu).

Tapi bila aku periksa pautan-pautan yang ada, pautan itu selalunya adalah pautan ke blog Bahasa Melayu Malaysia. Dan ini buat aku berfikir: Orang Malaysia sangat suka menulis dan membaca blog?

Aku tak kisah ramai orang mahu menulis blog. Aku pun macam tu juga. Menarik bila mengenangkan rakyat Malaysia yang jarang mahu menerapkan budaya membaca dan kurang menghayati nilai-nilai seni dan sastera dalam kita mengejar sains dan teknologi. Juga agama, bagi yang beranggapan duniawi ini tak penting. Mereka mahu menulis. Biasanya tulisan berbentuk bersahaja saja. Bukan tulisan-tulisan dengan maksud mendalam.

Yang mengingatkan aku kepada budaya membaca di kalangan bangsa aku. Membaca novel-novel cinta Melayu, novel-novel remaja yang berkisarkan kekeliruan identiti dan cinta, karya-karya Melayu yang dilakonkan pun bertemakan cinta. Lagu-lagu cinta. Semuanya tentang cinta. Perlukah begitu?

Tapi tak apalah. Selagi mereka mahu membaca, aku rasa baguslah macam tu. Baik lagi daripada terus tinggalkan dunia macam ni. Maksud aku dunia menulis dan membaca yang bukan sebab terpaksa (baca: bahan bacaan wajib macam buku teks atau nota-nota kuliah untuk lulus ujian atau nota-nota dan surat-surat wajib baca sebab kerja).

Dan aku masih ada masa untuk benda-benda macam ni dan tak ada masa untuk benda yang lebih penting. Macam mana tu?



{November 4, 2007}   Malaysia Malas

Aku terperasan satu fenomena yang wujud di kalangan warga Malaysia. Aku tak tahu kalau budaya ini sebenarnya wujud hanya di kota-kota besar. Aku tak perasan fenomena ini di bandar kelahiran aku, bandar yang tak sebesar mana, yang habis dironda oleh hampir semua pelajar dalam masa sehari setiap kali keluar outing. Dan juga pekan tempat aku belajar dulu, yang menjadi laluan kenderaan-kenderaan berat. Kawasan yang tak ada lampu isyarat untuk pejalan kaki melintas.

Pemerhatian secara tak sengaja setiap kali aku balik ke rumah dan memanjangkan langkah ke kawasan Bukit Bintang dan sekitar KL Sentral buat aku berfikir. Malaskah rakyat Malaysia? Atau mereka cuma kurang bijak? Maaf kalau ada yang terasa.

Ramai yang mendabik dada kononnya mereka lebih hebat sebab mereka lebih bijak. Tapi bijakkah mereka kalau setakat menekan butang lampu di tempat melintas pun mereka tak tahu? Hebat sangatlah macam tu. Bijak sangatlah macam tu.

Rata-rata rakyat Malaysia percaya kepada Tuhan, Tuhan-tuhan atau apa-apa semangat yang boleh mengubah nasib mereka. Tapi dalam hal ni aku rasa nak marah. Benda senang yang tak perlu melibatkan unsur-unsur ketuhanan pun mereka tak boleh buat sendiri. Mereka tunggu lampu untuk melintas di kawasan pejalan kaki yang sentiasa sibuk dengan kereta untuk bertukar daripada merah menjadi hijau. Dan mereka tunggu sampai rasa letih dan selepas itu tak kira lampu merah atau hijau, bila ada peluang (kereta sikit atau perlahan, dan bas sedang berhenti turunkan penumpang, jadi aliran lalulintas agak perlahan) mereka meluru ke seberang.

Aku tengok tak ada orang nak tekan butang pada lampu isyarat tu. Aku tekan sekejap. Cuma tunggu beberapa saat, lepas tu lampu jadi hijau. Tak pernah ada masalah dengan lampu tu, tak kira aku dari sebelah mana pun. Aku jarang balik KL, maka aku tak tahu lampu isyarat mana yang berfungsi dan mana yang tidak. Tapi setiap kali aku nak melintas aku akan cuba nasib aku. Selalunya tak ada masalah pun dan aku dapat melintas dengan selesa, tak terkejar-kejar berlari-lari depan kereta yang bergerak.

Kadang-kadang rasa nak marah sangat. Nak jerit kuat-kuat, “BODOH!” tapi aku masih waras, maka blog ni jadi mangsa aku. Luahkan semua yang aku marah.

Kadang-kadang aku terfikir. Manusia boleh jadi sangat bijak sampai jadi bodoh. Untuk benda-benda mudah macam ni mereka jadi bodoh walaupun mereka ada ijazah bergulung-gulung atau lahirkan anak bijak pandai. Dan mereka bodoh kerana tak didik anak-anak mereka untuk jadi bijak sikit dengan benda-benda macam ni. Tapi macam mana nak didik anak-anak kalau mereka sendiri pun tak tahu?

Kita tak perlu jadi intelek untuk tahu benda-benda macam ni. Tapi nak buat macam mana. Budaya orang kita yang buat kesedaran macam ni pupus. Sibuk kejar A berderet-deret dalam peperiksaan, sibuk kejar ijazah bergulung-gulung, sibuk kejar kerja dengan gaji empat dan lima angka. Sibuk mempromosi makanan kesihatan yang bantu perkembangan otak dan kekalkan kesihatan dan daya ingatan. Tapi akhirnya aku tetap labelkan mereka “BODOH.”

Aku marah. Tapi apa yang aku mampu buat selain daripada menekan butang lampu dan buat mereka yang melintas rasa Tuhan itu adil sebab akhirnya lampu merah bertukar menjadi hijau.



{November 4, 2007}   Lagu Kolej

Malam ni aku dan yang lain-lain (termasuk Akem dan Fera) akan ke sebuah studio. Yang lain-lain ada yang baru pertama kali masuk. Kami bertiga dah pernah masuk sebelum ni.

Kenapa masuk studio? Apa lagi. Rakam Lagu Kolej hari ni. Versi rasmi yang dah dapat kebenaran daripada Orang Atasan. Lain sikit daripada yang dulu. Dulu lagu macam lagu kanak-kanak. Sekarang versi yang rancak sikit, sesuai dengan imej Kolej.

Sangat teruja, sebab lagu ni akan jadi sebahagian daripada sejarah Kolej. Sepuluh orang yang terpilih ni akan menyumbangkan suara untuk sebuah Lagu Kolej yang akan bertahan untuk beberapa lama lagi. Menarik tak?

Aku tak yakin aku boleh menyanyi elok-elok hari ni. Tapi hari ni lagi elok daripada yang lepas, sebab masa tu tiba-tiba aku macam dapat selesema dan tekak rasa teruk sangat. Hari ni mungkin lagi baik.

Lagi dua jam. Aku belum bersiap. Tunggu masa Maghrib dulu. Nak makan sikit. Hari ni puasa. Dan malam ni pukul lapan dah kena tunggu dekat pos pengawal, nak naik van pergi ke studio. Tak dapat makan malam yang berat sikitlah. Tak kisah sangat. Kalau ramai yang belum makan, malam ni lepas rakam lagu bolehlah makan malam kat luar lagi, dan balik lambat sikit lepas tengah malam.

Tak makan pun tak kisah. Mi segera kan ada lagi. Habiskan stok dan lepas tu beli lagi. Macam tak ada makanan lain. Tak kisah pun. Aku memang suka makan mi segera. Abah dan Mama pun tahu, dah tak boleh larang.

Tiba-tiba perut rasa lapar. Kena bertahan lagi sekejap. Satu jam lagi. Sabar. Ada roti dan sup. Mungkin nak makan mi segera satu bungkus. Atau Nestum sikit. Aku masih kira kalori lagi. Nak kurangkan apa yang tak perlu. Dan lepas makan sikit nak kena mandi dan bersiap-siap ala kadar.

Aku tengok jam lagi. Rasa macam lambat pula. Kena banyak bersabar.



et cetera