serabut la ko











{Disember 31, 2007}   Tangga

Aku baru balik dari bangunan Fakulti. Naik dan turun tangga ke tingkat dua. Belum kira beberapa anak tangga yang aku panjat untuk masuk ke bangunan. Nak jumpa Penasihat Akademik tapi tak ada. Buat kali kedua. Nota yang aku tinggalkan hari Jumaat lepas dia tak ambil pun. Mungkin memang dia belum masuk ke pejabat lagi.

Aku balik ke bilik. Tak ada kerja pun. Mungkin kalau lepas ni aku bosan sangat aku akan tidur saja. Tak tahu nak buat apa. Aku tak dapat layari Internet buat beberapa ketika. Masalah pada komputer aku barangkali. Teman sebilik dapat akses Internet tanpa halangan. Leceh betul. Komputer lapuk.

Aku balik ke bilik. Memang mati kutu juga. Aku ambil botol air, nak turun ke aras bawah, ambil air sejuk. Panas-panas macam ni tak ada air yang lebih nikmat selain daripada air sejuk. Walaupun cuma air kosong. Air paip yang melalui penapis yang tak boleh diharap. Tapi aku tak kisah pun semua tu. Setakat ni aku belum mati lagi disebabkan minum air tu.

Di tangga ada sekumpulan kecil perempuan-perempuan yang mahu turun ke bawah. Ke tempat letak kereta. Sopan semuanya. Pakai baju lengan panjang, bertudung tutup dada dan berstokin dan/atau berkasut. Baguslah. Aku tak berkenan kalau mereka pakai pendek-pendek nampak bentuk badan atau nampak kulit badan (di mana-mana bahagian) dan nak bertudung sebab fesyen. Destinasi mereka: membeli barang di pasaraya. Maklumlah, semester baru bermula. Aku dapat tangkap intipati perbualan mereka secara tak sengaja. Bukan sengaja nak ambil tahu.

Aku geram bila mereka berjalan lambat-lambat turun tangga. Aku nak cepat. Aku harap mereka sedar kewujudan aku yang nak turun cepat. Aku tak ada benda yang nak dikejar. Cuma malas bergerak lambat-lambat. Mereka pula sibuk berborak sambil turun tangga. Dan tak ada ruang untuk aku mencelah untuk turun lebih cepat.

Sabar. Aku tunggu mereka semua turun. Aku lebih rela tunggu semuanya turun dan aku di belakang sekali daripada aku di tengah-tengah kumpulan mereka dan perlu dengar macam-macam sambil bergerak perlahan. Aku tak sanggup!

Pergerakan aku turun, ambil air dan naik semula ke bilik aku rasa macam lagi cepat daripada pergerakan mereka turun tangga sahaja. Dan aku terfikir. Itukah kesopanan Melayu? Itukah kesopanan seorang perempuan? Atau mungkin istilah yang lebih tinggi sikit kelasnya, wanita.

Mungkin juga. Tapi aku tak bersedia untuk itu. Pergerakan turun dan naik tangga walaupun tanpa hal penting yang memerlukan aku bergegas pun aku akan pilih untuk cepat. Dan aku rasa semua orang pun patut begitu. Terutamanya kalau tangga itu sempit. Melainkan kalau memang niat turun dan naik tangga itu cuma untuk suka-suka, buang masa saja. Tapi sila pastikan tak ada orang lain nak gunakan tangga. Masa itu aku tak kisah pun kalau ada sesiapa yang nak berjalan sangat perlahan, merangkak atau bergolek-golek. Hatta kamu nak tidur sekalipun aku tak peduli!

Ini baru tangga biasa. Belum lagi budaya naik eskalator. Naik di sebelah kiri dan kanan sekali. Kadang-kadang sekumpulan kawan-kawan. Kadang-kadang pasangan terlebih romantik. Naik di kiri dan kanan tu aku dah biasa lihat. Dan aku pun bukan tak pernah buat. Tapi aku harap orang-orang yang penuh kesopanan ni sedar akan kewujudan orang-orang yang nak bergerak pantas yang nak memotong barisan-barisan mereka yang cuma tunggu tangga bergerak bawa mereka turun atau naik (terutamanya naik). Aku harap mereka boleh beri laluan yang sewajarnya. Papan tanda laluan wujud pun tak pernah dibaca. Pernah dibaca pun tak pernah diendahkan. Dan kita mendabik dada menyatakan kita insan prihatin dan berbudaya serta bersopan santun?

Kalau macam tu aku tak nak jadi orang yang prihatin dan berbudaya serta bersopan santun. Terima kasih.

Advertisements


{Disember 26, 2007}   Opeth

Aku sedang kemas bilik yang bersepah. Esok dah nak balik semula ke Kolej. Banyak barang-barang yang aku belum kemas lagi. Beg pun belum.

Baju Along bersepah-sepah atas katil dan lantai. Katil dia dan katil aku. Tiap-tiap kali aku balik mesti macam tu. Aku kemas katil dan aku harap bila aku balik dalam keadaan kepenatan aku boleh terus rebah atas katil aku dan tidur sampai aku rasa aku perlu bangun semula. Tapi selalunya aku perlu tidur atas lantai. Dalam keadaan penat, aku tak larat kemas katil. Tidur lebih penting.

Aku kutip dan lipat baju-baju Along. Sehelai kemeja-T hitam tertera logo Opeth besar di dada. Aku teringat Along pernah bertanya, “Ada nampak tak T-shirt black metal Along?”

Aku rasa nak gelak. Opeth tu barangkali dia tak pernah dengar apa atau macam mana muzik yang mereka main. Sebab kekasih tersayang yang hadiahkan baju tu, mungkin dia cuba-cuba belajar untuk dengar. Macam masa bekas teman lelaki dia mainkan lagu 3 Doors Down, Here Without You dulu. Gila tunggu lagu tu dan menyanyi-nyanyi depan TV bila lagu tu keluar larut malam. Padahal sebelum tu aku yang memang minat lagu tu semenjak awal keluar (dan ditambah memori dengan rakan-rakan di Matrikulasi, terutamanya lepas majlis makan malam kolej) dia pernah tanya, “Apa yang best sangat lagu ni? Hari-hari dengar. Tak boring ke?” Dan aku rasa dia sangat hipokrit. Macam tak logik bila orang yang pernah marah-marah bila aku dengar Linkin Park (“Bising sangat. Slowlah sikit,” katanya) boleh dengar lagu-lagu POD yang hampir-hampir buat aku muntah-muntah bila aku dengar berterusan.

Opeth. Lagu Blackwater Park yang aku dapatkan sendiri dan dengar sendiri tanpa dicadangkan oleh sesiapa. Lagu yang aku muat turun secara rawak. Lagu sepanjang dua belas minit yang selalunya aku habis dengar tanpa aku sedari. Atau kadang-kadang aku bertindak untuk tukar ke lagu lain dalam senarai lagu-lagu dalam Winamp selalunya bila lagu hampir habis. Sangat jarang untuk aku rasa serabut dengan lagu tu walaupun lagu tu bagi aku termasuk dalam kategori serabut. Dan selalunya lagu-lagu serabut aku akan cepat-cepat tukar sebaik saja aku dengar intro.

Muzik oleh Opeth dan yang sewaktu dengannya bukanlah jenis muzik yang Along suka. Aku tak faham kenapa mesti beriya-iya sukakan sesuatu cuma sebab teman lelaki sukakan benda itu. Atau teman lelaki hadiahkan sesuatu yang tak mengikut citarasa dia tapi cuma memenuhi kehendak si pemberi. Aku tak kisah kalau hargai hadiah. Tapi perlukah suka sampai nak mengikut? Dan perlukah tunjuk yang dia suka dengan apa yang si lelaki suka?

Aku tak kisah kalau betul-betul suka bukan sebab nak ambil hati lelaki tu. Aku pun banyak mengikut pengaruh rakan-rakan. Dan ada juga yang aku suka tu bermula dari Shah. Tapi aku tak perlu tunjuk aku suka cuma sebab aku nak ambil hati Shah. Atau sesiapa yang lain.

Tak salah untuk suka apa yang orang lain suka. Mungkin memang kita pun suka benda yang sama tanpa sedar, atau mungkin kita tak pernah suka sebelum ni sebab kita tak tahu apa benda itu. Tapi tak perlulah nak buat-buat menyukai sesuatu sebab kita suka pada orang tu.



{Disember 6, 2007}   Serabut!!!

Buat pertama kali hari ni aku tengok antaramuka untuk blog ni dalam Bahasa Melayu. Dan itu buat aku hilang punca. Sebab aku tak faham istilah-istilah dalam Bahasa Melayu.

Entah kenapa selama ni tak pernah jadi macam ni, tiba-tiba bila jadi hari ni aku jadi kalut. Otak terpaksa proses lebih data sebab aku perlu faham apa yang aku perlu klik. Agak susah.

Setelah bersusah payah cari bahagian yang aku rasakan betul (dan nasib aku baik, ia memang betul), aku tukar bahasa antaramuka. Jadi Bahasa Penjajah semula. Maaf. Aku kurang faham banyak perkataan dalam Bahasa Melayu. Dan aku tak mahu buang masa yang banyak hanya untuk kenalpasti apa yang aku perlu klik untuk buat apa-apa di blog sendiri. Bukan aku tak ada rasa hormat kepada Bahasa Ibunda. Aku cuma nak mudahkan benda.

Aku masih perlu tengok apa yang patut. Dan aku akan pos lagi kalau aku ada masa dan benda untuk ditulis. Buat masa sekarang mungkin aku perlu buat kerja lain yang lebih penting. Atau lebih menarik.



{Disember 4, 2007}   Aku Serabut… dan Aku Minta Maaf

Maaf. Sebab seminggu yang sibuk dan serabut. Aku hilang kawalan emosi. Aku jadi seorang yang anti sosial. Bak kata orang Melayu: kera sumbang.

Aku tak benci orang. Aku cuma tertekan dengan macam-macam perkara. Aku jadi serabut dan aku cuma mahu beberapa orang saja wujud dalam lingkungan dinding maya aku. Aku tolak semua yang lain ke tepi. Aku pendamkan apa yang aku mampu, dan luahkan apa yang aku tak mampu simpan sendiri. Lepaskan rasa geram dan marah kepada orang yang tak sepatutnya. Mengadu pasal tekanan kepada orang lain.

Aku tak tipu bila aku cakap aku marah kepada kamu dan kamu. Aku memang marah. Tapi tekanan lain pun mendesak aku meluahkan marah itu seolah-olah itulah satu-satunya punca kemarahan aku. Aku hilang pertimbangan sekejap. Benda kecil, tapi aku buat macam benda besar, macam dunia nak Kiamat.

Marah. Hilang pertimbangan. Anti sosial. Kera sumbang.

Dan aku nak salahkan hormon juga. Turn naik tanpa kawalan. Memang selama ni turun dan naik itu tak dikawal. Dan memang turun naik itu tiba pada masa kitarannya. Tepat. Dan selalunya aku boleh kawal perasaan aku. Tapi aku tak dapat tangani keadaan itu masa aku sedang marah dan sakit hati dan tertekan masa itu. Dan aku jadi lebih marah, lebih sakit hati dan lebih tertekan. Makin kronik.

Sekarang semua dah berlalu. Semua yang huru hara dan berlaku tak seperti yang aku harapkan dah selesai. Dah berlalu dan aku tak perlu hadapinya sekali lagi. Macam-macam perkara yang berjalan dengan baik. Penutup yang baik untuk masalah yang aku hadapi minggu lepas. Aku rasa sangat lega.

Sekarang rasa serabut itu dah tiada. Kepala rasa bebas daripada keserabutan yang melanda. Hati rasa lega. Aku dapat bernafas dengan agak baik, seperti biasa. Seolah-olah minggu lepas itu cuma satu mimpi buruk yang panjang dan ia cuma mimpi. Seolah-olah aku terjaga daripada mimpi buruk itu dan sedar ianya bukan apa-apa.

Tapi aku sedar juga, banyak masalah timbul bila aku bersikap buruk sepanjang minggu lepas. Tak dapat tangani tekanan yang wujud. Semuanya jadi huru hara. Kacau bilau. Dan jadi anti sosial. Aku yang anti sosial? Atau orang lain yang takut mendekati aku? Apa-apa sajalah.  Yang pastinya orang lain tak selesa berada dekat aku. Mereka jauhkan diri daripada aku yang bersikap buruk sepanjang minggu.

Aku minta maaf. Aku tak sengaja berkelakuan begitu. Tapi barangkali juga aku sengaja, dalam keadaan separuh sedar. Atau suku sedar. Yang pastinya aku tak berniat asingkan diri sepenuhnya daripada orang lain. Tekanan buat aku rasa lebih baik kalau semua orang jauh daripada aku. Tempias kemarahan aku sudah cukup teruk. Tak perlu berdepan dengan kemarahan aku yang sebenar.

Tapi aku betul-betul nak minta maaf. Cuma tak tahu bagaimana. Aku harap semua orang boleh anggap perangai buruk aku minggu lepas cuma satu tanda aku tertekan, dan kekurangan rehat. Bukan aku yang sebenar. Dan aku harap itu cukup untuk buat orang maafkan aku.

Kepada semua orang: Aku minta maaf.



et cetera