serabut la ko











{Januari 6, 2008}   Visa

Yeah!!! Aku akan dapat Visa yang aku dambakan tak lama lagi. Bukan visa untuk ke negara lain. Aku belum ada duit untuk itu. Lagipun aku tak ada tujuan pun.

Aku nak dapatkan kad kredit prabayar dengan lambang Visa. Kad tu aku nak guna untuk pengesahan status akaun PayPal aku. Dan mungkin juga lebih daripada itu. Yang pastinya aku mahu sekeping kad (sekurang-kurangnya) yang akan buat urusan aku jadi lebih senang. Aku tak mahu kes minggu lepas jadi sekali lagi. Minggu lepas aku kehilangan lebih lima Dollar Amerika sebab duit yang sepatutnya aku dapat tu masuk ke akaun aku yang tak disahkan lagi.

Sedih sebab lima Dollar Amerika bukan sikit. Kalau aku kumpul-kumpulkan beberapa lama lagi aku dah boleh dapatkan beberapa barangan yang aku tak boleh beli di sini. Dan mungkin juga kalau aku lambat sahkan akaun aku tu aku akan kehilangan berpuluh-puluh Dollar Amerika lagi. Tidak!!! Aku tak sanggup!!!

Buat sementara ni aku tetapkan bayaran automatik ke akaun aku dibayar ke akaun E-Gold, dan yang mana tak ada pilihan E-Gold aku tetapkan pada PayPal, tapi dengan nilai yang sangat tinggi. Biar bayaran automatik tu masuk lambat.

Aku dah buat tinjauan sikit pasal kad debit dan kad prabayar Visa dan MasterCard baru-baru ni. Dan aku dah tetapkan hati untuk pilih yang paling mudah dan murah.

Tune Card oleh TuneMoney.com. Kad warna merah yang bukan dikeluarkan oleh mana-mana bank. Kenapa aku boleh yakin untuk dapatkan kad ni dan bukan yang dikeluarkan oleh bank-bank? Sebab kad ni ada kena mengena dengan Encik yang berikan rakyat Malaysia perkhidmatan kapal terbang dan talian telefon bimbit dengan warna merah. Juga penginapan dan insurans murah yang mungkin ramai yang tak tahu. Juga perkhidmatan siaran TV yang agak mahal.

Aku bukan pilih kad ni sebab aku sokong Encik ni. Tapi sebab kad ni murah. Juga mudah sebab aku tak perlu susah-susah berurusan dengan orang-orang di bank. Aku ada baca kes orang-orang yang dapatkan kad daripada bank, terpaksa berurusan dengan macam-macam pihak dan macam-macam kerenah bank. Sabar sajalah. Juga aku tak perlu buka akaun bank macam kad debit. Nanti duit mengalir macam air. Laju. Aku takut.

Untuk dapatkan kad-kad lain aku perlu bayar macam-macam. Untuk pek permulaan kad kredit prabayar, lepas tu bayar deposit pula. Dan pengaktifan yang agak leceh. Atau buka akaun bank untuk dapat kad debit. Jadi aku pilih untuk dapatkan Tune Card saja sebab murah. Bayar deposit terus untuk dapatkan kad. Tak perlu beli kad dulu dengan nilai separuh deposit minimum, lepas tu bayar deposit pula. Mungkin duit tu terus ditolak daripada deposit. Tapi aku tak kisah. Apa-apa saja yang mudah aku akan terima.

Lagipun antara Visa dan MasterCard aku akan pilih Visa. Aku boleh keluarkan duit dari akaun PayPal. Itulah tujuan utama aku. Nasib baik aku jumpa juga makluman Tune Card ni. Kalau tak mesti aku menyesal sebab kad kredit prabayar yang lain ada logo MasterCard dan kad Visa lain yang ada tu adalah kad debit.

Yang seronok tu ada orang yang nak bayarkan deposit kad aku. Macam dapat kad percuma, aku cuma perlu tambah nilai lain kali. Ada harga yang perlu dibayar kepada orang tu. Tapi bukan dengan duit. Tapi aku tak kisah sangat. Dapat jimat duit aku sikit dan aku tak perlu ke bank untuk deposit duit untuk dapat kad. Maknanya aku tak perlu tunggu Abah beri duit untuk bulan depan baru boleh fikir untuk dapatkan kad tu. Atau ikat perut dengan kadar melampau bulan ni dan guna duit yang ada untuk bayar deposit.

Apa-apa sajalah. Yang pastinya aku akan tunggu masa untuk kad pengenalan aku sampai balik ke tangan aku, dan aku akan terus isi borang untuk dapatkan kad tu. Lepas tu minta orang tu bayarkan deposit. Dan tunggu kad sampai di pejabat pos. Ambil kad, aktifkan akaun dan aku boleh sahkan akaun PayPal. Dan boleh dapat duit di PayPal.

Dan kad ni tak terhad kepada urusan PayPal saja. Aku mungkin akan minta Abah masukkan separuh duit belanja bulanan ke kad ni dan separuh lagi ke dalam akaun bank macam biasa. Senanglah nak berbelanja tak payah bawa wang tunai banyak-banyak sangat atau beratur panjang untuk cucuk duit di mesin ATM. Hehe… Aku akan buat tinjauan tempat-tempat yang terima Visa dulu sebelum tambah nilai kad banyak-banyak.

Kad merah dengan lambang Visa. Aku akan dapatkan kamu tak lama lagi. Hehe…

Advertisements


{Januari 3, 2008}   Sakit?

Semua orang dah tidur. Kecuali aku yang memang selalu tidur lewat. Sangat lewat, sampai orang dah bangun selalunya baru aku nak masuk ke alam mimpi. Tapi selalunya memang aku tak bermimpi. Atau mungkin juga aku yang tak ingat.

Boy turun dari katil Akem. Macam biasa, Boy bangun turun ke bawah dan tidur di katil aku lepas tidur sekejap di katil Akem. Aku dah biasa bangun dan tengok Boy ada dekat dengan aku.

Tapi malam ni lain. Boy tak macam selalu. Boy bangun dan turun dari katil. Aku fikir Boy tidur macam selalu di katil aku. Aku layan komputer dalam gelap. Tak nampak Boy di mana  dan buat apa.

Tiba-tiba Boy bising-bising. Selalunya itu cara Boy minta sesuatu. Dan selalunya itu tanda Boy mahu keluar, minta sesiapa bukakan pintu. Atau beri makanan kalau Boy tengok bekas makanan kosong.

Aku buka pintu sedikit. Boy tak keluar terus. Boy baring saja. Aku tak boleh tutup pintu. Aku ajak Boy masuk balik ke bilik. Boy terus baring. Macam budak kecil yang moody, demam atau merajuk. Tak nak bangun. Aku cuba angkat Boy masuk. Boy terus baring, tak nak bergerak. Boy letak kepala atas lantai. Dan aku perasan Boy letak kepala macam berbaring beralas pipi kiri. Macam ada yang tak kena.

Aku pujuk Boy masuk. Boy diam tak bergerak, tapi berbunyi perlahan macam nak luahkan sesuatu. Aku cuba bawa Boy masuk ke dalam. Boy macam sengaja lembikkan badan, biar jadi berat. Macam sengaja tak nak aku bawa masuk. Aku pujuk Boy, beri dia tidur atas katil aku dengan selimut dan bantal kalau Boy nak. Boy masih tak nak bangun.

Aku bawa juga masuk. Di luar sejuk. Dalam bilik pun sejuk, tapi sekurang-kurangnya kalau Boy tak tidur atas katil pun ada karpet, buat alas badan daripada lantai yang sejuk. Boy masuk juga. Tapi macam tak rela.

Boy mula bising. Akem dan Fera mesti tak senang tidur. Aku pujuk Boy tidur lagi. Boy tak nak duduk di katil. Boy baring atas karpet. Bising lagi. Aku pujuk Boy lagi tapi tak berjaya. Macam ada benda yang tak kena pada Boy. Aku buka lampu meja. Nak tengok apa yang tak kena.

Lampu meja beri cahaya sikit. Aku nampak Boy dan apa yang tak kena dengan Boy. Tapi cahaya lampu mungkin dah ganggu Akem tidur. Dia bangun dan tanya aku kenapa Boy macam tu. Aku tak tahu. Aku cuma mampu beritahu Boy bising-bising saja dari tadi. Akem cakap biarkan saja.

Aku tengok Boy betul-betul. Memang Boy tidur dan baring dengan posisi kepala yang tak berubah. Teleng sikit. Aku tengok lagi. Mata Boy tertutup sebelah. Aku cuba tengok. Boy macam marah bila aku cuba buka matanya. Aku tak tahu mata Boy sakit atau tak. Cuma Boy macam sedang tahan sesuatu yang tak kena. Aku andaikan saja Boy sakit.

Boy buat bising, ditambah cahaya lampu. Akem bangun dan turun dari katil. Pergi ke arah Boy, ambil Boy dan buka pintu. Letakkan Boy di luar. Kesian Boy. Tapi aku tak tahu perlu buat apa.

Akem tidur balik. Dan aku masih di depan komputer. Terus buka satu tetingkap Mozilla Firefox dan cari alamat bermula dengan huruf ‘W’, tekan butang dan masuk ke akaun WordPress. Dan aku mula menulis ayat yang pertama tadi.



{Januari 1, 2008}   Tahun Baru

Selamat Tahun Baru. Ucapan yang aku terima daripada agak ramai orang. Tapi tahun ni dah kurang. Baguslah. Aku pun tak ada kredit mahu teks semua orang nak ucap selamat. Lagipun aku memang malas.

Tahun Baru. Aku tak sambut dengan sesiapa. Atau dengan apa-apa. Maksud aku aktiviti. Buat aktiviti harian macam biasa. Macam tak ada yang istimewa pun hari ni. Memang pun macam tu. Tahun Baru? Istimewa?

Mungkin ada sikit istimewa. Semua orang pasang niat dan azam. Aku? Aku masih di takuk lama. Azam tahun yang sebelum ni tak tertunai lagi. Azam yang berapa kali diperbaharui tapi tetap tak buat.  Tak perlulah aku pasang azam lagi. Dan tak perlu canang kepada orang apa azam aku tahun ni. Diam-diam saja sudah.

Matlamat utama aku semester ni ialah habiskan projek sebaik mungkin. Projek yang tak bergerak sepanjang semester lepas. Serabut rasanya. Aku nak siapkan elok-elok. Harap-harap dapat gred baik. Tapi masalahnya aku tak tahu nak mula dari mana.

Lagi satu matlamat ialah kumpul duit banyak-banyak. Status kewangan aku parah semester ni. Aku tak dapat duit pinjaman untuk bayar yuran. Dan aku malas nak minta daripada Mama. Semester ni kena ikat perut. Simpan duit untuk bayar yuran. Dan cuba dapatkan apa-apa kerja yang boleh datangkan duit. Agak-agak aku mampu tak?

Matlamat seterusnya ialah kurangkan berat badan. Ni bukan azam tahun baru. Aku bukan nak nampak langsing dan cantik dan mengorat sesiapa. Berat badan aku naik mendadak sejak kebelakangan ni. BMI (body mass index) aku dah tak seimbang. Aku tak mahu sakit sekarang. Banyak lagi benda aku perlu buat.

Matlamat lain aku akan kumpul sikit-sikit dan tunaikan sikit-sikit. Setakat yang aku mampu sajalah. Tak nak letak banyak-banyak. Tak nak kecewa dan jadi stres, dan tak nak disebabkan tu aku makan lebih banyak. Dan makan lebih banyak makanan rapu (junk food). Jangan gelak dengan istilah tu. Betul-betul wujud.

Blog aku yang lagi satu dah capai umur setahun. Macam tak percaya pun ada. Akem dah padam blog dia. Buat kali kedua. Aku tak pasti bila dia padam. Ruginya. Dia yang beriya-iya nak tulis dulu. Dan aku yang teruskan sampai habis. Dan ada lagi satu.

Aku dah umumkan kewujudan blog ni. Tapi belum beri pautan. Sengaja buat macam tu. Tunggulah bila aku rasa rajin aku akan sebarkan.



et cetera