serabut la ko











{Februari 27, 2008}   Dadih? Dadah?

Status di Skype tertulis: penat la jual dadih. jual dadah la plak…

Dan aku dapat beberapa pesanan daripada kawan-kawan. Mahu dadah jenis itu dan ini. Mahu sekian-sekian banyak. Minta diskaun.

Dan aku juga dapat pertanyaan: Kau jual haram jadah tu? Serta kata-kata yang berjela-jela seperti “Aku benci haram jadah tu,” “Kawan aku dulu pernah rasa. Dia bakar depan mata aku,” dan “Orang-orang macam tu semuanya bodoh.” Aku cuma main-main bila aku tanya nak beli tak. Jangan ambil hati.

Yang kelakar orang yang cakap macam tu sebenarnya orang yang aku anggap pernah cuba atau mungkin paling berani untuk cuba benda-benda macam ni.

Aku tak jual dadah. Aku tak tahu mana mahu cari stok. Tapi aku kenal seorang yang pernah buat penghantaran. Mungkin dia boleh tolong kalau aku betul-betul mahu. Ada sesiapa mahu buat tempahan?

Aku jual dadih di Kolej hampir setiap malam. Cari duit lebih.

Tak.

Sebenarnya cari duit. Tak ada perkataan ‘lebih’ selepas perkataan ‘duit’.

Ya, aku tahu aku nampak macam orang yang tamak haloba lagi kedekut bila aku cakap macam tu. Aku tak peduli pun.

Memang aku tamak bila aku kerahkan diri untuk jual hampir setiap malam. Memang aku kedekut bila aku cuma keluarkan sikit duit untuk belanja makan. Fikir panjang untuk keluar beli barang. Fikir panjang untuk beli makanan tiap-tiap hari. Dan bila orang mula cakap hal duit jawapan aku cuma “Tak ada duit.”

Aku perlu bayar macam-macam. Yang aku perlukan. Yang aku mahukan. Kita semua ada kehendak, bukan?

Mungkin aku bertindak agak melampau bila aku sekat apa yang orang lain pandang sebagai ‘perlu’ untuk sesuatu yang mereka pandang sebagai ‘mahu’.

Maaf. Kamu tak kenal aku. Memang dari sekolah rendah aku macam tu. Tak makan sebab nak duit beli komik. Atau beli pensel dan buku yang sebenarnya kalau aku minta daripada Abah mesti boleh dapat. Cuma sekarang duit belanja yang Abah beri aku guna lebih daripada separuh untuk bayar yuran. Duit untuk makan dan belanja lain aku boleh usahakan. Kalau tak cukup aku boleh sekat. Duit yuran tak boleh disekat. Sama macam zaman sekolah dulu. Buat apa makan di kantin sekolah. Aku boleh makan nasi banyak-banyak di rumah. Simpan duit sekolah waktu pagi untuk beli burger atau jajan lepas sekolah waktu petang. Atau tunggu seminggu untuk beli komik. Atau apa-apa benda lain.

Bila orang tengok aku jual dadih tiap-tiap malam ada yang tanya aku: Tak penat jual hari-hari? Sebenarnya aku penat. Sangat penat. Tapi aku cuma beri alasan: Senaman sikit sebab malas nak bersenam. Orang tanya: Kumpul duit untuk apa? Aku jawab: Saja-saja, cari duit sikit.

Aku cuma boleh kata ‘penat sikit’ yang logik untuk berlaku bila perlu naik dan turun lebih kurang tiga atau empat buah blok setinggi empat tingkat, setiap tingkat ada 12 pintu untuk diketuk. Atau kalau nasib kurang baik aku perlu naik dan turun lapan buah blok untuk jual semua dadih. Dan itupun tak semestinya habis. Aku tak boleh mengadu ‘penat sangat’ sebab jual dadih. Kalau tak aku tak boleh menjual lagi. Shah akan suruh aku berhenti, dan dia akan beri aku duit belanja. Tapi aku tahu itu takkan cukup. Duit elaun yang Shah dapat tak mampu bayar perbelanjaan untuk dua orang. Dan tak ada kerja lain yang boleh beri aku RM 18 untuk dua jam bekerja setiap malam dan aku boleh pilih untuk bekerja atau tak ikut kemampuan dan kemahuan aku.

Aku mengaku kedekut sebab dengan pendapatan lebih kurang RM 18 satu malam aku cuma belanjakan tak lebih daripada RM 4 keesokan harinya. Dan kadang-kadang aku cuma makan mi segera untuk sepanjang hari. Kedekut sangat, kan? Maaf, aku belum mampu untuk makan makanan yang sedap-sedap. Aku cuma mampu beri makanan kepada perut, bukan kepada tekak yang asyik mahu makan sedap-sedap. Belum sampai masa lagi. Ada banyak benda lain yang aku perlu dan/atau mahu bayar.

Dan lagi satu, kepada teman-teman sebilik, aku tahu kamu main-main saja bila kamu cakap aku perlu open table makan kerang rebus setiap kali aku dapat duit. Ya, aku tak lupa itu. Aku sedang kumpul duit, salah satunya untuk itu. Cuma belum sampai masa untuk aku ajak kamu. Tunggu nanti aku kumpul duit lebih sikit aku belanja seorang sepinggan kerang kalau kamu mahu. Tapi aku perlukan duit untuk hal lain juga yang berkaitan dengan makan kerang. Aku perlu makan makanan berat lain juga. Serta bayar duit minyak dan duit sewa kereta untuk keluar makan dengan kamu semua. Harap kamu boleh bersabar.

Ya, kalau ada sesiapa yang mahu aku tolong jual dadah, boleh juga. Cepat sikit aku boleh belanja teman-teman bilik makan kerang rebus serta bayar apa-apa yang patut.

Advertisements


{Februari 5, 2008}   Tak Pernah?

Bilik sunyi. Tak ada orang lain selain daripada aku. Yang lain semua balik bercuti. Dan aku tinggal sendiri dalam bilik ni.

Macam biasa, aku layan kebosanan buat apa-apa saja yang boleh dilakukan dengan telefon dan komputer. Biasanya kalau sambungan Internet asyik putus-putus aku akan menyumpah-nyumpah sambil pasang niat nak tidur. Dan selalunya masa tu sambungan Internet akan pulih dan aku berjaga sampai pagi buta.

Malam ni pun bosan. Lepas Maghrib aku turun ke kafeteria untuk makan. Beli nasi ayam sepinggan. Mula-mula rancang nak beli bungkus dan makan di bilik. Malas. Aku makan sambil tengok TV di kafe. Makan lambat-lambat. Tangan berbalas teks dengan Shah. Mentang-mentang baru beli kredit RM 10. Aku bertahan dengan kredit sebanyak lebih kurang RM 2 semenjak lebih kurang tiga hari lepas, untuk teks dan panggilan. Hebat tak? Dan ada baki 14 sen sebelum aku tambah kredit.

Balik ke bilik. Sunyi. Aku nak pasang lagu. Entah kenapa cuma ada satu lagu yang aku nak dengar. Tak Pernah oleh V5. Aku pernah tulis pasal lagu ni sebelum ni. Aku cari lagu tu dalam komputer yang bersepah dengan macam-macam fail. Jumpa. Aku mainkan lagu tu.

Dan selang beberapa jam kemudian setelah beratus-ratus (atau mungkin beribu-ribu?) kali lagu bermain tanpa henti, aku teringat peristiwa yang aku rasa ironik pasal lagu ni. Sekarang baru aku tahu kenapa.

Sebelum ni, aku ingat aku gembira dengan Shah (memang pun) dan dia gembira dengan aku (aku silap). Beberapa hari lepas dia mengaku tipu aku. Dan tipu aku pasal perkara yang aku rasa macam tak dapat nak maafkan. Tapi aku maafkan juga. Dia tipu sebab tak sampai hati nak beritahu aku perkara sebenar.

Bullshit. Perkataan keramat yang aku belajar daripada bekas teman lelaki aku.

Dan sekarang aku faham kenapa masa aku dengan perasaan perasan anggap Shah gembira dengan aku, aku asyik dengar lagu ni. Dan aku pernah berniat beri lagu ni kepada Shah sebab aku suka lagu ni. Sangat suka. Dulu aku rasa macam tak logik untuk mainkan lagu ni bila aku rasa gembira dan bahagia. Macam aku cuma tipu Shah.

Rupa-rupanya lagu ni bukan lagu dari aku kepada Shah. But it’s the other way around. Sebaliknya. Lagu ni sangat sesuai kalau Shah tahu lebih awal. Mungkin dia akan berikan lagu ni kepada aku untuk beritahu apa yang dia tak mampu nak beritahu sendiri.

Dan aku masih rasa Shah patut dengar lagu ni.



et cetera