serabut la ko











{November 24, 2008}   Protein

Jam 3 dan aku masih mengunyah makanan. Semenjak dua menjak ni aku selalu rasa lapar. Banyak makan. Sikit-sikit suap makanan dalam mulut.

Mama dan Abah datang ambil barang-barang aku semalam. Aku tak dapat balik. Ada hal yang belum selesai. Terpaksa tunggu. Aku cuma ada sedikit barang makanan (baca: mi segera dan minuman 3-dalam-1) dan aku minta Abah dan Mama belikan sedikit coklat dan roti manis. Mereka tak belikan. Kami ke Carrefour dan beli stok makanan untuk aku. Hampir RM 50 untuk makanan yang kononnya untuk bekalan 2-3 hari sebelum aku balik rumah. Juga beli donat Big Apple (cuma tiga, rugi tak beli banyak sebab Abah di kaunter promosi kad kredit).

Sepanjang hari aku habiskan dengan makan. Sebelum tidur dan selepas tidur. Dan selepas semua orang dah tidur tapi aku belum tidur.

Aku banyak makan sumber protein sejak minggu lepas. Yang selalunya aku cuma makan sikit. Sekarang hari-hari mesti ada sumber protein dalam pinggan aku. Ayam. Telur. Ikan. Minum Milo dan makan coklat (baca: sumber tenusu). Sebelum ni sumber protein aku cuma tertumpu pada tauhu, kekacang dan tempe. Sedikit tauhu telur (egg tofu) atau nama lain tauhu Jepun.

Masa Abah dan Mama datang kami makan di Tanjung Lumpur. Makanan laut. Tak dapat pari sebab pari dah habis. Dua lauk ikan dan dua ekor sotong goreng tepung dan beberapa ekor udang. Sotong goreng tepung ada baki dan aku bawa balik. Teman bilik aku habiskan. Agak sedih sebab aku tak merasa bila balik lepas makan (masa tu makanan yang dimakan dah mula turun dan aku mula nak mencari sesuatu untuk dikunyah). Tak kisahlah. Aku dah makan banyak (tapi tetap sedih sebab sebenarnya Mama dan Abah cakap simpan sotong, esok boleh makan lagi).

Lepas beli cold cuts yang dipanaskan (Abah suruh pekerja Carrefour tempat cold cuts 5 Star dijual panaskan sikit cold cuts tu walaupun sebenarnya aku tak rela dan lagi suka yang sejuk) sebelum makan makanan laut aku habiskan beberapa biji pizza cocktail, satu sosej ayam lada hitam, dua sosej ayam yang slim dan juga satu cawan yogurt strawberi tanpa lemak. Aku makan sebelum pergi ke Tanjung Lumpur. Lapar.

Sepanjang hari ni lepas bangun tidur selepas makan makanan laut, aku makan donat Big Apple (barangkali dibuat dengan tepung berprotein tinggi?) dan cold cuts yang dipanaskan tapi dah sejuk balik. Dua sosej keju dan sedikit pizza cocktail. Lepas tu tat telur. Lambat sikit dan aku makan nasi dengan lauk ikan dan ikan bilis. Lepas tu pizza cocktail lagi.

Lepas tengah malam, aku rasa rajin buat Milo (habiskan Milo yang terakhir) dan minum satu cawan Milo yang pekat (boleh buat 3-5 cawan barangkali) dan tak lama lepas tu makan roti pizza. Lepas tu makan lagi saki-baki pizza cocktail hingga ke biji yang terakhir. Rasa rugi sikit sebab tak beli cold cuts lain. Tapi kalau beli banyak nanti tak habis atau terpaksa buang sebab kulat (aku tak ada peti sejuk).

Sambil menaip aku masih rasa lapar. Ada roti-roti lain yang aku beli dan belum makan. Roti kentang dengan keju Cheddar, roti tuna, roti bawang dan keju. Muffin. Entah apa-apa lagi. Roti pizza pun ada lagi. Dan coklat. He he…

Kesimpulan: Aku mungkin akan jadi lebih gemuk sebelum mula praktikal. Ada lebih kurang sebulan untuk duduk di rumah dan makan banyak-banyak. Confirm tambah kilo-kilo lagi lepas ni.

Advertisements


{November 18, 2008}   Membelah Poket

Aku suka tengok laman web yang jual macam-macam. Sekarang perhatian tertumpu kepada kasut. Ya. Kasut-kasut perempuan yang comel-comel. Aku cari saiz besar. Ingat nak beli online saja. Terpaksa gamble dengan saiz. Tapi tak kisahlah. Sekurang-kurangnya ada pilihan kasut yang cantik-cantik. Tapi belum mampu lagi. Kena kumpul duit dulu. Dan lepas tu masukkan ke kad debit yang dah lama tak ada duit. Kemudian minta salinan bil terbaru dan hantar ke PayPal. Lepas tu tunggu PayPal lift (angkat?) limitation (kekangan?) pada akaun PayPal aku dan lepas tu boleh membeli-belah di dalam talian (ayat agak skema).

Sambil-sambil dah simpan nawaitu membeli di satu laman ni, aku tengok-tengok juga laman lain. Jumpa satu tempat a la eBay versi China. Banyak wholeseller (pemborong?) China. Barang-barang imitasi/tiruan (imitation) ada banyak di sini. Mula-mula tengok kasut. Lepas tu tengok telefon. Rambang mata. Kasut dan telefon. Tak tahu nak pilih mana satu nak dibeli dulu. Ceh. Macamlah ada duit.

Telefon imitasi yang nampak cantik. Dan murah. Rasa macam nak beli. Ada yang dijual ikut lot. Satu lot ada banyak unit. Murah-murah. Nafsu membeli dah mula kacau kewarasan. Lupa sekejap laporan projek yang tak siap-siap lagi. Asyik tengok telefon. Lupa pada kasut juga. Telefon murah dan cantik, ada yang hampir sama harga dengan kasut. Maka telefon menang.

Telefon imitasi yang nampak macam the real deal tu aku rasa dah memanggil-manggil. Suruh beli cepat-cepat. Aku dah mula pasang angan-angan untuk beli satu lot barang-barang elektronik di laman tu. Satu lot ada beberapa unit barang. Boleh jual kepada orang lain. Atau buat hadiah (banyak duit?) untuk orang-orang terdekat. Berlagak kaya sikit. Hadiah hari jadi atau apa-apa. Untuk Abang atau Along atau adik-adik buah (istilah apa ni?) adik-adik saudara yang tak dapat duit Raya dari aku beberapa tahun ni (memang tak pernah bagi duit Raya lagi sebab belum kerja).

Tiba-tiba rasa teruja excited (agak anti perkataan teruja lepas Ella nyanyi lagu Teruja tu. aku tak faham motif dan maksud lagu tu) untuk kumpul duit dan beli borong dari China. Lepas tu fikir, boleh selamat sampai ke rumah ke? Tak kena tahan ke? Macam-macam dalam kepala. Fikir jauh sangat. Kalau lepas, aku boleh cuba beli borong banyak sikit dan jual di eBay Malaysia. Hehe…

Apa yang aku nak cerita ni sebenarnya cuma hal lawat laman web yang macam-macam, dan ada jual macam-macam. Aku sekarang dilanda nafsu membeli belah dalam talian. Online shopping. Rasa nak beli barang yang nampak macam mahal ni. Tak kira apa orang nak cakap. Beli yang original pun rosak juga kalau tangan aku yang pegang. Cap ayam saja sudahlah.

Apa-apa pun, yang penting tunggu sampai aku ada banyak duit. Nak beli macam-macam tapi duit pun tak ada, apa kes? Beli lepas kumpul duit dan agak-agak tak sayang sangat duit RM 400 dan boleh biar lesap kalau barang tak sampai atau rosak (worst case scenario). Boleh ke tahan tengok telefon imitasi Nokia N95, N96, N8800, Apple iPhone 8GB/16GB, HTC Diamond dan lain-lain tak sampai USD 150 per unit? Nafsu, nafsu…

Rambang mata…



{November 18, 2008}   Skinny

Sejak beberapa hari ni aku asyik pandang cermin besar di bilik air. Aku bukan suka sangat bercermin. Sikat rambut pun malas. Kadang-kadang cuma tengok refleksi di tingkap, tengok rupa serabai atau tak sebelum masuk ke perpustakaan atau pejabat.

Tapi beberapa hari kebelakangan ni aku dapat komen-komen yang mengatakan aku kurus. Makin kurus. Buat aku panik sekejap. Aku tahu aku makan banyak sejak kebelakangan ni. Aku makan macam-macam. Ayam, daging, burger, nugget. Hari-hari minum air manis. Juga aku ada minum Vanilla Coke satu tin lepas makan. Lama tak minum air berkarbonat. Juga aku makan coklat hampir setiap hari. Aku menghabiskan beberapa minggu terakhir di kolej dengan makan makanan rapu (ada istilah ni dalam kamus). Aku sepatutnya jadi lebih gemuk.

Komen yang mengatakan aku kurus tu aku terima saja. Tapi hati tak rasa berbunga-bunga macam mula-mula orang cakap aku kurus. Rasa semacam sebab aku tahu aku dah makan banyak hari-hari. Masih kurus lagi? Semakin kurus? Hati rasa tak sedap.

Beberapa hari lepas aku makan lamb chop di Padi. Lama tak makan. Rindu. Makan macam orang dah lama tak jumpa makanan. Kawan aku tunjuk seseorang. Perempuan yang kurus. Kategori skinny pada pandangan aku. Tulang dan kulit. Dan kawan aku cakap aku cuma besar seinci daripada perempuan tu. Orang yang sama juga cakap tulang-tulang aku akan ranap kalau ada orang peluk aku.

Erk… Macam tu sekali? Aku rasa aku tak sekurus tu. Dan aku sebenarnya lebih gemuk daripada apa yang orang lain nampak. Mungkin sebab baju aku besar sikit daripada dulu. Dan lagi satu, tangan aku memang kurus. Aku gemuk dulu pun tangan tetap tak besar. Tulang tersembul di pergelangan tangan. Tapi tu memang aku. Tak boleh tambah isi di tangan. Mungkin cuma lemak-lemak berlebihan (lagi hodoh) di bahagian atas lengan.

Belek-belek rupa di cermin. Pusing ke kiri, ke kanan. Tarik baju sedikit, cuba tengok badan sekeping atau tak. Aku tengok tak. Belek tangan. Angkat dan pusing-pusing. Tangan memang nampak kurus macam tulang dan sedikit daging. Belek-belek pipi. Pipi aku masih tak naik macam masa awal tahun ni, tak payah senyum pun apple naik di pipi. Sekarang ni, aku paksa senyum (Joker: Why so serious?) tapi pipi tak naik juga. Pegang pinggang. Gemuk. Tapi boleh rasa tulang pinggul. Peha masih besar. Kena turunkan lagi.

Evaluasi sendiri (self evaluation) yang aku buat beberapa minit di depan cermin tiap-tiap kali ke tandas buat aku rasa aku masih dalam kategori normal. Dan kalau ikutkan BMI, aku di ambang berat berlebihan. Cukup-cukup makan untuk duduk dalam kategori berat sihat. Ramai yang tak percaya. Tapi itulah aku. Kategori tak sihat sebab ukurlilit perut dah nak masuk kategori mudah dapat penyakit.

Projek tahun akhir yang aku baru siapkan ni buat aku banyak baca artikel-artikel kesihatan (juga belajar PHP yang aku tak faham langsung sebelum ni). Aku kena bersenam. Banyak lagi benda tak sihat yang aku buat. Tapi orang lebih risau tengok aku kurus sikit (kategori berat sihat)  daripada tengok aku yang tembam lagi bulat (berat berlebihan selama beberapa tahun ni).

Aku menaip entri (masukan? Aku masih belum boleh terima istilah ni) ini sambil meniarap di atas lantai. Sama macam masa aku siapkan projek dan tesis. Tulang pinggul menyentuh lantai. Sakit juga kadang-kadang. Sebab dulu tak macam ni. Tapi aku tetap menyimpulkan yang aku tak masuk kategori skinny. Dan yang sebenarnya aku masih dalam kategori belum cukup sihat sebab berat masih di ambang berlebihan. Kena kurangkan berat lagi sikit. Juga kurangkan ukurlilit perut. 

Aku tengah crave coklat. Hari-hari mahu coklat. Siap minta Mama dan Abah bawa coklat bila datang ambil aku nanti. Jangan kata aku kurus. Aku masih kena kurangkan lemak-lemak. Tapi aku juga tak nak kurus yang tak sihat. Kena tone up otot-otot. Biar nampak tak kurus sangat. Juga nampak lebih cantik (perasan sekejap).

Oh, ya. Komen di Friendster yang aku tak approve. Ada gambar perempuan yang sangat kurus (anorexic) yang memandang cermin dan nampak refleksi dirinya yang gemuk. Maaf. Aku belum masuk kategori itu kalau ada sesiapa yang mahu paksa aku makan tiga pinggan nasi sehari. Dan kalau ada sesiapa yang nak cuba, sedikit pengetahuan am: Aku makan nasi portion dua pinggan sekali makan. Jangan cakap aku tak cukup makan. Banyak lagi terlebih.

Aku mungkin akan tambah balik beberapa kilo bila duduk di rumah. Harap-harap pipi naik sikit. Aku tak nak bos tempat buat latihan industri tanya kenapa rupa tak sama dalam gambar (macamlah dia kisah).



{Oktober 17, 2008}   Lagu Indon I

Mula dari beberapa minggu lepas aku mula belajar dengar lagu-lagu Melayu semula. Melayu Malaysia dan Indonesia. Tak dapat stesen lagu Inggeris yang aku suka. Layankan saja stesen lagu Melayu ni.

Tak, aku tak anti lagu Melayu. Aku cuma anti lagu yang aku tak suka. Melayu atau Inggeris. Atau apa-apa saja.

Seperti biasa, kalau namanya radio, lagu yang sama saja diputar berulang-ulang. Aku hampir hafal semua lagu Melayu yang ada. Yang aku suka (dah tentulah aku akan hafal) serta yang aku benci (lagu Siti Nurhaliza yang macam pangkah pangkah tu pun aku boleh nyanyikan, dan lepas tu rasa nak muntah). Apa-apa sajalah.

Beberapa minggu lepas juga aku beritahu Shah aku banyak layan lagu Melayu sekarang. Dia terkejut. Lagi terkejut bila aku cakap aku layan lagu Indon. “Kenapa Indon?”

Jangan salah anggap. Shah juga tak anti lagu Indon. Cuma kenapa Indon?

Pernah bercinta dengan awek yang belajar di Indon (warga Malaysia OK) dan mungkin banyak kali dapat lagu-lagu cinta Indon (aku tahu ada beberapa lagu yang dia layan dulu), mungkin Shah tak perlukan apa-apa yang berkaitan dengan Indon lagi buat masa ni. Tapi aku selalu hantar e-mail dan attach lagu-lagu Indon yang aku layan. Sekadar suka-suka.

Bukan aku sengaja nak buat dia ingat kembali kepada awek lama. Cuma banyak lagu-lagu yang aku dengar yang seolah-olah ada kaitan dengan cerita aku dan Shah. Tak kira sekarang atau yang dah lepas. Kadang-kadang aku rasa jahat sebab beri lagu-lagu sedih. Lagu-lagu yang macam ungkit balik rasa sakit hati aku dulu. Tapi tak ada niat buat macam tu pun. Cuma rasa seronok dapat layan lagu-lagu macam tu.

Aku tak tahu Shah dengar atau tak lagu-lagu yang aku hantar tu. Tak kisahlah. Ada sesetengah lagu yang aku tahu dia dengar. Lagu Il Divo. Aku lebih percaya dia dengar lagu Indon daripada dengar lagu Il Divo. Tapi tak pelik pun. Dan lagu yang dia dengar tu pun memang mendalam.

Sekarang radio dihujani lagu-lagu Raya. Tak kisahlah. Layankan…

Oh. Baru sekejap tadi aku hantar satu lagi lagu Indon kepada Shah. Lagu tu betul-betul kena batang hidung aku dan Shah. Banyak kali fikir patut atau tak aku beri. Hari ni aku tak kira dia suka atau tak, aku dah hantar dah pun.



{Februari 27, 2008}   Dadih? Dadah?

Status di Skype tertulis: penat la jual dadih. jual dadah la plak…

Dan aku dapat beberapa pesanan daripada kawan-kawan. Mahu dadah jenis itu dan ini. Mahu sekian-sekian banyak. Minta diskaun.

Dan aku juga dapat pertanyaan: Kau jual haram jadah tu? Serta kata-kata yang berjela-jela seperti “Aku benci haram jadah tu,” “Kawan aku dulu pernah rasa. Dia bakar depan mata aku,” dan “Orang-orang macam tu semuanya bodoh.” Aku cuma main-main bila aku tanya nak beli tak. Jangan ambil hati.

Yang kelakar orang yang cakap macam tu sebenarnya orang yang aku anggap pernah cuba atau mungkin paling berani untuk cuba benda-benda macam ni.

Aku tak jual dadah. Aku tak tahu mana mahu cari stok. Tapi aku kenal seorang yang pernah buat penghantaran. Mungkin dia boleh tolong kalau aku betul-betul mahu. Ada sesiapa mahu buat tempahan?

Aku jual dadih di Kolej hampir setiap malam. Cari duit lebih.

Tak.

Sebenarnya cari duit. Tak ada perkataan ‘lebih’ selepas perkataan ‘duit’.

Ya, aku tahu aku nampak macam orang yang tamak haloba lagi kedekut bila aku cakap macam tu. Aku tak peduli pun.

Memang aku tamak bila aku kerahkan diri untuk jual hampir setiap malam. Memang aku kedekut bila aku cuma keluarkan sikit duit untuk belanja makan. Fikir panjang untuk keluar beli barang. Fikir panjang untuk beli makanan tiap-tiap hari. Dan bila orang mula cakap hal duit jawapan aku cuma “Tak ada duit.”

Aku perlu bayar macam-macam. Yang aku perlukan. Yang aku mahukan. Kita semua ada kehendak, bukan?

Mungkin aku bertindak agak melampau bila aku sekat apa yang orang lain pandang sebagai ‘perlu’ untuk sesuatu yang mereka pandang sebagai ‘mahu’.

Maaf. Kamu tak kenal aku. Memang dari sekolah rendah aku macam tu. Tak makan sebab nak duit beli komik. Atau beli pensel dan buku yang sebenarnya kalau aku minta daripada Abah mesti boleh dapat. Cuma sekarang duit belanja yang Abah beri aku guna lebih daripada separuh untuk bayar yuran. Duit untuk makan dan belanja lain aku boleh usahakan. Kalau tak cukup aku boleh sekat. Duit yuran tak boleh disekat. Sama macam zaman sekolah dulu. Buat apa makan di kantin sekolah. Aku boleh makan nasi banyak-banyak di rumah. Simpan duit sekolah waktu pagi untuk beli burger atau jajan lepas sekolah waktu petang. Atau tunggu seminggu untuk beli komik. Atau apa-apa benda lain.

Bila orang tengok aku jual dadih tiap-tiap malam ada yang tanya aku: Tak penat jual hari-hari? Sebenarnya aku penat. Sangat penat. Tapi aku cuma beri alasan: Senaman sikit sebab malas nak bersenam. Orang tanya: Kumpul duit untuk apa? Aku jawab: Saja-saja, cari duit sikit.

Aku cuma boleh kata ‘penat sikit’ yang logik untuk berlaku bila perlu naik dan turun lebih kurang tiga atau empat buah blok setinggi empat tingkat, setiap tingkat ada 12 pintu untuk diketuk. Atau kalau nasib kurang baik aku perlu naik dan turun lapan buah blok untuk jual semua dadih. Dan itupun tak semestinya habis. Aku tak boleh mengadu ‘penat sangat’ sebab jual dadih. Kalau tak aku tak boleh menjual lagi. Shah akan suruh aku berhenti, dan dia akan beri aku duit belanja. Tapi aku tahu itu takkan cukup. Duit elaun yang Shah dapat tak mampu bayar perbelanjaan untuk dua orang. Dan tak ada kerja lain yang boleh beri aku RM 18 untuk dua jam bekerja setiap malam dan aku boleh pilih untuk bekerja atau tak ikut kemampuan dan kemahuan aku.

Aku mengaku kedekut sebab dengan pendapatan lebih kurang RM 18 satu malam aku cuma belanjakan tak lebih daripada RM 4 keesokan harinya. Dan kadang-kadang aku cuma makan mi segera untuk sepanjang hari. Kedekut sangat, kan? Maaf, aku belum mampu untuk makan makanan yang sedap-sedap. Aku cuma mampu beri makanan kepada perut, bukan kepada tekak yang asyik mahu makan sedap-sedap. Belum sampai masa lagi. Ada banyak benda lain yang aku perlu dan/atau mahu bayar.

Dan lagi satu, kepada teman-teman sebilik, aku tahu kamu main-main saja bila kamu cakap aku perlu open table makan kerang rebus setiap kali aku dapat duit. Ya, aku tak lupa itu. Aku sedang kumpul duit, salah satunya untuk itu. Cuma belum sampai masa untuk aku ajak kamu. Tunggu nanti aku kumpul duit lebih sikit aku belanja seorang sepinggan kerang kalau kamu mahu. Tapi aku perlukan duit untuk hal lain juga yang berkaitan dengan makan kerang. Aku perlu makan makanan berat lain juga. Serta bayar duit minyak dan duit sewa kereta untuk keluar makan dengan kamu semua. Harap kamu boleh bersabar.

Ya, kalau ada sesiapa yang mahu aku tolong jual dadah, boleh juga. Cepat sikit aku boleh belanja teman-teman bilik makan kerang rebus serta bayar apa-apa yang patut.



{Februari 5, 2008}   Tak Pernah?

Bilik sunyi. Tak ada orang lain selain daripada aku. Yang lain semua balik bercuti. Dan aku tinggal sendiri dalam bilik ni.

Macam biasa, aku layan kebosanan buat apa-apa saja yang boleh dilakukan dengan telefon dan komputer. Biasanya kalau sambungan Internet asyik putus-putus aku akan menyumpah-nyumpah sambil pasang niat nak tidur. Dan selalunya masa tu sambungan Internet akan pulih dan aku berjaga sampai pagi buta.

Malam ni pun bosan. Lepas Maghrib aku turun ke kafeteria untuk makan. Beli nasi ayam sepinggan. Mula-mula rancang nak beli bungkus dan makan di bilik. Malas. Aku makan sambil tengok TV di kafe. Makan lambat-lambat. Tangan berbalas teks dengan Shah. Mentang-mentang baru beli kredit RM 10. Aku bertahan dengan kredit sebanyak lebih kurang RM 2 semenjak lebih kurang tiga hari lepas, untuk teks dan panggilan. Hebat tak? Dan ada baki 14 sen sebelum aku tambah kredit.

Balik ke bilik. Sunyi. Aku nak pasang lagu. Entah kenapa cuma ada satu lagu yang aku nak dengar. Tak Pernah oleh V5. Aku pernah tulis pasal lagu ni sebelum ni. Aku cari lagu tu dalam komputer yang bersepah dengan macam-macam fail. Jumpa. Aku mainkan lagu tu.

Dan selang beberapa jam kemudian setelah beratus-ratus (atau mungkin beribu-ribu?) kali lagu bermain tanpa henti, aku teringat peristiwa yang aku rasa ironik pasal lagu ni. Sekarang baru aku tahu kenapa.

Sebelum ni, aku ingat aku gembira dengan Shah (memang pun) dan dia gembira dengan aku (aku silap). Beberapa hari lepas dia mengaku tipu aku. Dan tipu aku pasal perkara yang aku rasa macam tak dapat nak maafkan. Tapi aku maafkan juga. Dia tipu sebab tak sampai hati nak beritahu aku perkara sebenar.

Bullshit. Perkataan keramat yang aku belajar daripada bekas teman lelaki aku.

Dan sekarang aku faham kenapa masa aku dengan perasaan perasan anggap Shah gembira dengan aku, aku asyik dengar lagu ni. Dan aku pernah berniat beri lagu ni kepada Shah sebab aku suka lagu ni. Sangat suka. Dulu aku rasa macam tak logik untuk mainkan lagu ni bila aku rasa gembira dan bahagia. Macam aku cuma tipu Shah.

Rupa-rupanya lagu ni bukan lagu dari aku kepada Shah. But it’s the other way around. Sebaliknya. Lagu ni sangat sesuai kalau Shah tahu lebih awal. Mungkin dia akan berikan lagu ni kepada aku untuk beritahu apa yang dia tak mampu nak beritahu sendiri.

Dan aku masih rasa Shah patut dengar lagu ni.



{Januari 6, 2008}   Visa

Yeah!!! Aku akan dapat Visa yang aku dambakan tak lama lagi. Bukan visa untuk ke negara lain. Aku belum ada duit untuk itu. Lagipun aku tak ada tujuan pun.

Aku nak dapatkan kad kredit prabayar dengan lambang Visa. Kad tu aku nak guna untuk pengesahan status akaun PayPal aku. Dan mungkin juga lebih daripada itu. Yang pastinya aku mahu sekeping kad (sekurang-kurangnya) yang akan buat urusan aku jadi lebih senang. Aku tak mahu kes minggu lepas jadi sekali lagi. Minggu lepas aku kehilangan lebih lima Dollar Amerika sebab duit yang sepatutnya aku dapat tu masuk ke akaun aku yang tak disahkan lagi.

Sedih sebab lima Dollar Amerika bukan sikit. Kalau aku kumpul-kumpulkan beberapa lama lagi aku dah boleh dapatkan beberapa barangan yang aku tak boleh beli di sini. Dan mungkin juga kalau aku lambat sahkan akaun aku tu aku akan kehilangan berpuluh-puluh Dollar Amerika lagi. Tidak!!! Aku tak sanggup!!!

Buat sementara ni aku tetapkan bayaran automatik ke akaun aku dibayar ke akaun E-Gold, dan yang mana tak ada pilihan E-Gold aku tetapkan pada PayPal, tapi dengan nilai yang sangat tinggi. Biar bayaran automatik tu masuk lambat.

Aku dah buat tinjauan sikit pasal kad debit dan kad prabayar Visa dan MasterCard baru-baru ni. Dan aku dah tetapkan hati untuk pilih yang paling mudah dan murah.

Tune Card oleh TuneMoney.com. Kad warna merah yang bukan dikeluarkan oleh mana-mana bank. Kenapa aku boleh yakin untuk dapatkan kad ni dan bukan yang dikeluarkan oleh bank-bank? Sebab kad ni ada kena mengena dengan Encik yang berikan rakyat Malaysia perkhidmatan kapal terbang dan talian telefon bimbit dengan warna merah. Juga penginapan dan insurans murah yang mungkin ramai yang tak tahu. Juga perkhidmatan siaran TV yang agak mahal.

Aku bukan pilih kad ni sebab aku sokong Encik ni. Tapi sebab kad ni murah. Juga mudah sebab aku tak perlu susah-susah berurusan dengan orang-orang di bank. Aku ada baca kes orang-orang yang dapatkan kad daripada bank, terpaksa berurusan dengan macam-macam pihak dan macam-macam kerenah bank. Sabar sajalah. Juga aku tak perlu buka akaun bank macam kad debit. Nanti duit mengalir macam air. Laju. Aku takut.

Untuk dapatkan kad-kad lain aku perlu bayar macam-macam. Untuk pek permulaan kad kredit prabayar, lepas tu bayar deposit pula. Dan pengaktifan yang agak leceh. Atau buka akaun bank untuk dapat kad debit. Jadi aku pilih untuk dapatkan Tune Card saja sebab murah. Bayar deposit terus untuk dapatkan kad. Tak perlu beli kad dulu dengan nilai separuh deposit minimum, lepas tu bayar deposit pula. Mungkin duit tu terus ditolak daripada deposit. Tapi aku tak kisah. Apa-apa saja yang mudah aku akan terima.

Lagipun antara Visa dan MasterCard aku akan pilih Visa. Aku boleh keluarkan duit dari akaun PayPal. Itulah tujuan utama aku. Nasib baik aku jumpa juga makluman Tune Card ni. Kalau tak mesti aku menyesal sebab kad kredit prabayar yang lain ada logo MasterCard dan kad Visa lain yang ada tu adalah kad debit.

Yang seronok tu ada orang yang nak bayarkan deposit kad aku. Macam dapat kad percuma, aku cuma perlu tambah nilai lain kali. Ada harga yang perlu dibayar kepada orang tu. Tapi bukan dengan duit. Tapi aku tak kisah sangat. Dapat jimat duit aku sikit dan aku tak perlu ke bank untuk deposit duit untuk dapat kad. Maknanya aku tak perlu tunggu Abah beri duit untuk bulan depan baru boleh fikir untuk dapatkan kad tu. Atau ikat perut dengan kadar melampau bulan ni dan guna duit yang ada untuk bayar deposit.

Apa-apa sajalah. Yang pastinya aku akan tunggu masa untuk kad pengenalan aku sampai balik ke tangan aku, dan aku akan terus isi borang untuk dapatkan kad tu. Lepas tu minta orang tu bayarkan deposit. Dan tunggu kad sampai di pejabat pos. Ambil kad, aktifkan akaun dan aku boleh sahkan akaun PayPal. Dan boleh dapat duit di PayPal.

Dan kad ni tak terhad kepada urusan PayPal saja. Aku mungkin akan minta Abah masukkan separuh duit belanja bulanan ke kad ni dan separuh lagi ke dalam akaun bank macam biasa. Senanglah nak berbelanja tak payah bawa wang tunai banyak-banyak sangat atau beratur panjang untuk cucuk duit di mesin ATM. Hehe… Aku akan buat tinjauan tempat-tempat yang terima Visa dulu sebelum tambah nilai kad banyak-banyak.

Kad merah dengan lambang Visa. Aku akan dapatkan kamu tak lama lagi. Hehe…



{Januari 3, 2008}   Sakit?

Semua orang dah tidur. Kecuali aku yang memang selalu tidur lewat. Sangat lewat, sampai orang dah bangun selalunya baru aku nak masuk ke alam mimpi. Tapi selalunya memang aku tak bermimpi. Atau mungkin juga aku yang tak ingat.

Boy turun dari katil Akem. Macam biasa, Boy bangun turun ke bawah dan tidur di katil aku lepas tidur sekejap di katil Akem. Aku dah biasa bangun dan tengok Boy ada dekat dengan aku.

Tapi malam ni lain. Boy tak macam selalu. Boy bangun dan turun dari katil. Aku fikir Boy tidur macam selalu di katil aku. Aku layan komputer dalam gelap. Tak nampak Boy di mana  dan buat apa.

Tiba-tiba Boy bising-bising. Selalunya itu cara Boy minta sesuatu. Dan selalunya itu tanda Boy mahu keluar, minta sesiapa bukakan pintu. Atau beri makanan kalau Boy tengok bekas makanan kosong.

Aku buka pintu sedikit. Boy tak keluar terus. Boy baring saja. Aku tak boleh tutup pintu. Aku ajak Boy masuk balik ke bilik. Boy terus baring. Macam budak kecil yang moody, demam atau merajuk. Tak nak bangun. Aku cuba angkat Boy masuk. Boy terus baring, tak nak bergerak. Boy letak kepala atas lantai. Dan aku perasan Boy letak kepala macam berbaring beralas pipi kiri. Macam ada yang tak kena.

Aku pujuk Boy masuk. Boy diam tak bergerak, tapi berbunyi perlahan macam nak luahkan sesuatu. Aku cuba bawa Boy masuk ke dalam. Boy macam sengaja lembikkan badan, biar jadi berat. Macam sengaja tak nak aku bawa masuk. Aku pujuk Boy, beri dia tidur atas katil aku dengan selimut dan bantal kalau Boy nak. Boy masih tak nak bangun.

Aku bawa juga masuk. Di luar sejuk. Dalam bilik pun sejuk, tapi sekurang-kurangnya kalau Boy tak tidur atas katil pun ada karpet, buat alas badan daripada lantai yang sejuk. Boy masuk juga. Tapi macam tak rela.

Boy mula bising. Akem dan Fera mesti tak senang tidur. Aku pujuk Boy tidur lagi. Boy tak nak duduk di katil. Boy baring atas karpet. Bising lagi. Aku pujuk Boy lagi tapi tak berjaya. Macam ada benda yang tak kena pada Boy. Aku buka lampu meja. Nak tengok apa yang tak kena.

Lampu meja beri cahaya sikit. Aku nampak Boy dan apa yang tak kena dengan Boy. Tapi cahaya lampu mungkin dah ganggu Akem tidur. Dia bangun dan tanya aku kenapa Boy macam tu. Aku tak tahu. Aku cuma mampu beritahu Boy bising-bising saja dari tadi. Akem cakap biarkan saja.

Aku tengok Boy betul-betul. Memang Boy tidur dan baring dengan posisi kepala yang tak berubah. Teleng sikit. Aku tengok lagi. Mata Boy tertutup sebelah. Aku cuba tengok. Boy macam marah bila aku cuba buka matanya. Aku tak tahu mata Boy sakit atau tak. Cuma Boy macam sedang tahan sesuatu yang tak kena. Aku andaikan saja Boy sakit.

Boy buat bising, ditambah cahaya lampu. Akem bangun dan turun dari katil. Pergi ke arah Boy, ambil Boy dan buka pintu. Letakkan Boy di luar. Kesian Boy. Tapi aku tak tahu perlu buat apa.

Akem tidur balik. Dan aku masih di depan komputer. Terus buka satu tetingkap Mozilla Firefox dan cari alamat bermula dengan huruf ‘W’, tekan butang dan masuk ke akaun WordPress. Dan aku mula menulis ayat yang pertama tadi.



{Januari 1, 2008}   Tahun Baru

Selamat Tahun Baru. Ucapan yang aku terima daripada agak ramai orang. Tapi tahun ni dah kurang. Baguslah. Aku pun tak ada kredit mahu teks semua orang nak ucap selamat. Lagipun aku memang malas.

Tahun Baru. Aku tak sambut dengan sesiapa. Atau dengan apa-apa. Maksud aku aktiviti. Buat aktiviti harian macam biasa. Macam tak ada yang istimewa pun hari ni. Memang pun macam tu. Tahun Baru? Istimewa?

Mungkin ada sikit istimewa. Semua orang pasang niat dan azam. Aku? Aku masih di takuk lama. Azam tahun yang sebelum ni tak tertunai lagi. Azam yang berapa kali diperbaharui tapi tetap tak buat.  Tak perlulah aku pasang azam lagi. Dan tak perlu canang kepada orang apa azam aku tahun ni. Diam-diam saja sudah.

Matlamat utama aku semester ni ialah habiskan projek sebaik mungkin. Projek yang tak bergerak sepanjang semester lepas. Serabut rasanya. Aku nak siapkan elok-elok. Harap-harap dapat gred baik. Tapi masalahnya aku tak tahu nak mula dari mana.

Lagi satu matlamat ialah kumpul duit banyak-banyak. Status kewangan aku parah semester ni. Aku tak dapat duit pinjaman untuk bayar yuran. Dan aku malas nak minta daripada Mama. Semester ni kena ikat perut. Simpan duit untuk bayar yuran. Dan cuba dapatkan apa-apa kerja yang boleh datangkan duit. Agak-agak aku mampu tak?

Matlamat seterusnya ialah kurangkan berat badan. Ni bukan azam tahun baru. Aku bukan nak nampak langsing dan cantik dan mengorat sesiapa. Berat badan aku naik mendadak sejak kebelakangan ni. BMI (body mass index) aku dah tak seimbang. Aku tak mahu sakit sekarang. Banyak lagi benda aku perlu buat.

Matlamat lain aku akan kumpul sikit-sikit dan tunaikan sikit-sikit. Setakat yang aku mampu sajalah. Tak nak letak banyak-banyak. Tak nak kecewa dan jadi stres, dan tak nak disebabkan tu aku makan lebih banyak. Dan makan lebih banyak makanan rapu (junk food). Jangan gelak dengan istilah tu. Betul-betul wujud.

Blog aku yang lagi satu dah capai umur setahun. Macam tak percaya pun ada. Akem dah padam blog dia. Buat kali kedua. Aku tak pasti bila dia padam. Ruginya. Dia yang beriya-iya nak tulis dulu. Dan aku yang teruskan sampai habis. Dan ada lagi satu.

Aku dah umumkan kewujudan blog ni. Tapi belum beri pautan. Sengaja buat macam tu. Tunggulah bila aku rasa rajin aku akan sebarkan.



{Disember 31, 2007}   Tangga

Aku baru balik dari bangunan Fakulti. Naik dan turun tangga ke tingkat dua. Belum kira beberapa anak tangga yang aku panjat untuk masuk ke bangunan. Nak jumpa Penasihat Akademik tapi tak ada. Buat kali kedua. Nota yang aku tinggalkan hari Jumaat lepas dia tak ambil pun. Mungkin memang dia belum masuk ke pejabat lagi.

Aku balik ke bilik. Tak ada kerja pun. Mungkin kalau lepas ni aku bosan sangat aku akan tidur saja. Tak tahu nak buat apa. Aku tak dapat layari Internet buat beberapa ketika. Masalah pada komputer aku barangkali. Teman sebilik dapat akses Internet tanpa halangan. Leceh betul. Komputer lapuk.

Aku balik ke bilik. Memang mati kutu juga. Aku ambil botol air, nak turun ke aras bawah, ambil air sejuk. Panas-panas macam ni tak ada air yang lebih nikmat selain daripada air sejuk. Walaupun cuma air kosong. Air paip yang melalui penapis yang tak boleh diharap. Tapi aku tak kisah pun semua tu. Setakat ni aku belum mati lagi disebabkan minum air tu.

Di tangga ada sekumpulan kecil perempuan-perempuan yang mahu turun ke bawah. Ke tempat letak kereta. Sopan semuanya. Pakai baju lengan panjang, bertudung tutup dada dan berstokin dan/atau berkasut. Baguslah. Aku tak berkenan kalau mereka pakai pendek-pendek nampak bentuk badan atau nampak kulit badan (di mana-mana bahagian) dan nak bertudung sebab fesyen. Destinasi mereka: membeli barang di pasaraya. Maklumlah, semester baru bermula. Aku dapat tangkap intipati perbualan mereka secara tak sengaja. Bukan sengaja nak ambil tahu.

Aku geram bila mereka berjalan lambat-lambat turun tangga. Aku nak cepat. Aku harap mereka sedar kewujudan aku yang nak turun cepat. Aku tak ada benda yang nak dikejar. Cuma malas bergerak lambat-lambat. Mereka pula sibuk berborak sambil turun tangga. Dan tak ada ruang untuk aku mencelah untuk turun lebih cepat.

Sabar. Aku tunggu mereka semua turun. Aku lebih rela tunggu semuanya turun dan aku di belakang sekali daripada aku di tengah-tengah kumpulan mereka dan perlu dengar macam-macam sambil bergerak perlahan. Aku tak sanggup!

Pergerakan aku turun, ambil air dan naik semula ke bilik aku rasa macam lagi cepat daripada pergerakan mereka turun tangga sahaja. Dan aku terfikir. Itukah kesopanan Melayu? Itukah kesopanan seorang perempuan? Atau mungkin istilah yang lebih tinggi sikit kelasnya, wanita.

Mungkin juga. Tapi aku tak bersedia untuk itu. Pergerakan turun dan naik tangga walaupun tanpa hal penting yang memerlukan aku bergegas pun aku akan pilih untuk cepat. Dan aku rasa semua orang pun patut begitu. Terutamanya kalau tangga itu sempit. Melainkan kalau memang niat turun dan naik tangga itu cuma untuk suka-suka, buang masa saja. Tapi sila pastikan tak ada orang lain nak gunakan tangga. Masa itu aku tak kisah pun kalau ada sesiapa yang nak berjalan sangat perlahan, merangkak atau bergolek-golek. Hatta kamu nak tidur sekalipun aku tak peduli!

Ini baru tangga biasa. Belum lagi budaya naik eskalator. Naik di sebelah kiri dan kanan sekali. Kadang-kadang sekumpulan kawan-kawan. Kadang-kadang pasangan terlebih romantik. Naik di kiri dan kanan tu aku dah biasa lihat. Dan aku pun bukan tak pernah buat. Tapi aku harap orang-orang yang penuh kesopanan ni sedar akan kewujudan orang-orang yang nak bergerak pantas yang nak memotong barisan-barisan mereka yang cuma tunggu tangga bergerak bawa mereka turun atau naik (terutamanya naik). Aku harap mereka boleh beri laluan yang sewajarnya. Papan tanda laluan wujud pun tak pernah dibaca. Pernah dibaca pun tak pernah diendahkan. Dan kita mendabik dada menyatakan kita insan prihatin dan berbudaya serta bersopan santun?

Kalau macam tu aku tak nak jadi orang yang prihatin dan berbudaya serta bersopan santun. Terima kasih.



et cetera